RANAU: Dua lelaki tempatan ditahan polis selepas disyaki memiliki barang curi dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah ketika rondaan cegah jenayah di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, kedua-dua suspek ditahan anggota Balai Polis Ranau ketika menjalankan rondaan berkenaan.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati kenderaan yang digunakan mereka merupakan kereta sewa dari daerah Penampang.
Pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan itu, yang dijalankan dengan disaksikan pemandunya, menemukan 10 keping tembaga, sebilah parang, dua pemotong besi, seunit playar muncung tirus, seunit playar pengunci serta dua pasang sarung tangan yang dipercayai berkaitan kegiatan pecah rumah.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 22A dan Seksyen 18(e) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil Negeri Sabah serta Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada kedua-dua suspek mempunyai kaitan dengan kes pecah rumah atau jenayah harta benda lain yang berlaku di daerah Ranau.
Mursalin turut merakamkan penghargaan kepada masyarakat setempat atas kerjasama dan keprihatinan dalam membantu pihak polis menjaga keselamatan serta kesejahteraan daerah itu.
Katanya, IPD Ranau akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan menyalahi undang-undang.
Beliau turut menggalakkan orang ramai menjadi mata dan telinga polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah bagi membolehkan tindakan pencegahan diambil dengan segera.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Ranau menerusi talian 088-875222. -DAKWAT RAKYAT POST
