KOTA BELUD: Lima lelaki tempatan ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kejadian membelasah seorang remaja lelaki berusia 19 tahun secara beramai-ramai di bulatan Kampung Pirasan-Melaga-Lentiggi, di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Khairul Shah Peri berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berhubung kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.30 pagi itu.
Menurutnya, polis turut mengesan rakaman video kejadian berkenaan yang tular di media sosial.
Susulan laporan diterima, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud menahan dua lelaki kira-kira jam 8 malam pada hari kejadian.
“Tiga lagi lelaki ditahan dalam operasi susulan kira-kira jam 7.30 malam, Ahad lalu, menjadikan keseluruhan lima suspek ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semua suspek berusia antara 17 hingga 26 tahun dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham antara sekumpulan individu yang dikaitkan dengan aktiviti mat rempit.
Khairul Shah berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti penglibatan setiap individu dalam kejadian berkenaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil ke IPD Kota Belud bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan polis akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang terbabit dalam aktiviti mat rempit, khususnya perbuatan menyalahi undang-undang yang mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kejadian itu, selain mengelakkan tindakan sendiri yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.-DAKWAT RAKYAT POST
