MUKAH: Seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun direman selama tiga hari selepas ditahan polis dalam operasi Ops Tapis di Jalan Pasar Tamu, Selangau, Sarawak, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal bin Alias berkata, suspek ditahan sepasukan anggota polis kira-kira jam 11 pagi pada 19 Oktober ketika berada di hadapan sebuah kedai alat telekomunikasi di kawasan berkenaan.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati suspek menyerahkan sendiri satu keratan tiub straw lutsinar yang mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine dengan berat kasar 0.50 gram, dianggarkan bernilai RM50.
Suspek yang bekerja sebagai buruh kemudian dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing terhadap suspek didapati negatif, manakala semakan rekod mendapati lelaki itu tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
“Siasatan awal mendapati suspek mengaku dadah yang dirampas itu miliknya dan mendakwa terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah sejak Jun 2026,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah.
Permohonan reman terhadap suspek dibuat di Mahkamah Majistret Mukah kira-kira jam 8.30 pagi hari ini dan mahkamah membenarkan tahanan reman selama tiga hari sehingga 23 Oktober bagi melengkapkan siasatan.
Menurut Muhamad Rizal, polis turut menjalankan siasatan bagi mengesan sumber bekalan dadah berkenaan serta mengenal pasti individu yang dipercayai membekalkannya kepada suspek.
Dalam pada itu, polis menggesa orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah bagi membantu membanteras kegiatan berkenaan, khususnya di daerah Mukah dan Selangau.
Maklumat boleh disalurkan kepada IPD Mukah menerusi talian 084-871222 atau dengan mengunjungi balai polis berhampiran.-DAKWAT RAKYAT POST
