RANAU: Seorang lelaki berusia 34 tahun ditahan polis selepas disyaki merogol anak kandungnya yang berusia 13 tahun dalam kejadian di daerah ini.
Suspek yang berstatus pemastautin tetap itu ditahan malam tadi susulan laporan polis dibuat oleh ibu saudara mangsa berhubung kejadian berkenaan.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, siasatan awal mendapati mangsa tinggal bersama bapa kandung dan ibu tirinya.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku ketika ibu tiri mangsa berada di Labuan dan tiada di rumah.
“Suspek dipercayai memasuki bilik tidur mangsa sebelum melakukan perbuatan rogol terhadap anak kandungnya itu.
“Susulan laporan yang diterima daripada ibu saudara mangsa, polis menahan suspek bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mursalin berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.
Beliau menegaskan polis memandang serius jenayah seksual, khususnya yang membabitkan kanak-kanak, dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan.
Katanya, siasatan menyeluruh akan dijalankan bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil berdasarkan hasil siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau kegiatan jenayah lain diminta tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat kepada polis.
Maklumat boleh disalurkan kepada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau menerusi talian 088-875222. Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.-DAKWAT RAKYAT POST
