TAWAU: Kilang menghasilkan keropok lekor dan kuih bahulu yang beroperasi bertahun-tahun tanpa lesen serta dalam keadaan kotor akhirnya ditutup dalam operasi penguatkuasaan di daerah ini, hari ini.
Lebih membimbangkan, produk keluaran kilang berkenaan dipercayai turut dipasarkan ke daerah lain, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan makanan yang dijual kepada pengguna.
Penutupan premis di kawasan perumahan itu dilakukan Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau menerusi operasi diketuai Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr Shameer Khan Sulaiman, hasil risikan Pasukan Gerakan Am (PGA).
Pemeriksaan mendapati premis terbabit tidak mempunyai lesen operasi daripada pihak berkuasa tempatan selain tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Keadaan premis yang kotor serta ketiadaan sistem pengurusan kebersihan dan kawalan pengeluaran makanan sewajarnya turut menjadi antara faktor tindakan diambil mengikut Akta Makanan 1983 (Akta 281).
Ketiadaan lesen dan pendaftaran itu menyebabkan aktiviti pengeluaran makanan di premis berkenaan tidak dapat dipantau secara berkesan, khususnya dari aspek kebersihan serta pematuhan terhadap keperluan keselamatan makanan.
Pemantauan susulan akan dijalankan bagi memastikan pengusaha tidak meneruskan operasi sehingga semua syarat ditetapkan dipenuhi, termasuk mendapatkan lesen berkaitan.
Tindakan undang-undang, termasuk pendakwaan di mahkamah, boleh diambil sekiranya pengusaha ingkar dan kembali beroperasi tanpa kebenaran.
Dalam perkembangan berkaitan, pemeriksaan terhadap beberapa premis makanan, kilang ais dan kedai vape turut dilaksanakan dalam operasi penguatkuasaan sebelum ini bagi memastikan pengusaha mematuhi peraturan ditetapkan.
Hasil pemeriksaan mendapati kebanyakan premis makanan di Tawau berada dalam keadaan baik, bersih dan mematuhi keperluan KKM, namun masih terdapat pengusaha yang gagal mematuhi peraturan sehingga tindakan penguatkuasaan terpaksa diambil.
Sementara itu, hampir 35 premis diperiksa bagi penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), dengan kira-kira 25 kesalahan dikesan.
Antara kesalahan dikenal pasti ialah kegagalan mematuhi keperluan pendaftaran produk merokok, larangan penjualan, penjualan pada harga runcit tidak mengikut harga berdaftar serta pelanggaran syarat pengiklanan, pembungkusan dan pelabelan.
Operasi berkenaan adalah sebahagian daripada usaha penguatkuasaan dan pemantauan berkala bagi mencegah kejadian keracunan makanan serta memastikan makanan yang dijual kepada orang ramai selamat untuk dimakan.-DAKWAT RAKYAT POST
