KOTA KINABALU: Keputusan kerajaan Warisan Plus menamatkan kontrak model Project Delivery Partner (PDP) bagi Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah pada September 2019 didakwa menjadi antara punca utama kelewatan pelaksanaan projek berkenaan.
Ketua Penerangan (Penaja) Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Kinabatangan, Aksyah Haji Nasrah, mendakwa keputusan ketika pentadbiran bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, itu menjejaskan pelaksanaan baki 20 daripada 35 pakej kerja projek sepanjang 706 kilometer berkenaan.
Menurutnya, penamatan kontrak itu mencetuskan pelbagai masalah teknikal dan pertikaian kontrak, selain menjejaskan keupayaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah mengambil alih pelaksanaan projek secara konvensional.
Beliau berkata demikian ketika mengulas isu kelewatan projek yang dibangkitkan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2026.
Aksyah turut mempersoalkan tindakan pihak yang mengaitkan kelewatan projek itu dengan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, sedangkan menurutnya, keputusan menamatkan model PDP dibuat ketika pentadbiran Warisan Plus.
“Siapakah yang memegang tampuk pemerintahan Kerajaan Negeri Sabah dari pertengahan 2018 sehingga akhir 2020? Bukankah itu era pentadbiran Warisan Plus pimpinan Shafie?” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Aksyah turut mengkritik alasan Shafie yang dilaporkan tidak berpuas hati dengan model PDP di Sabah kerana syarikat berkenaan diketuai individu berlatar belakang politik, iaitu Datuk Ir Shahelmey Yahya.
Menurutnya, pelantikan Shahelmey sebagai Pengarah Urusan syarikat PDP itu bukan semata-mata berdasarkan latar belakang politik, sebaliknya turut mengambil kira kelayakan profesional dalam bidang kejuruteraan serta pengalaman teknikalnya.
Beliau turut mempersoalkan kritikan terhadap pelantikan berkenaan atas faktor politik, sambil membangkitkan dakwaan mengenai pelantikan pemimpin politik ke jawatan menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ketika pentadbiran Warisan.
Mengenai perbandingan pelaksanaan projek Pan Borneo Sabah dengan Sarawak, Aksyah mendakwa kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempunyai persediaan kewangan dan pelan teknikal sebelum menamatkan model PDP.
“Benar, Sarawak juga bersetuju membatalkan model PDP, tetapi GPS bukan tin kosong seperti Warisan,” katanya.
Beliau mendakwa kerajaan Warisan Plus menamatkan kontrak berkenaan tanpa pelan luar jangka yang mencukupi, sekali gus menyebabkan baki pakej kerja berdepan masalah pelaksanaan sebelum negara dilanda pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Aksyah turut membangkitkan perbelanjaan projek berjumlah RM10.547 bilion, bersamaan 94.6 peratus daripada peruntukan RM11.153 bilion bagi tempoh 2016 hingga Mac 2026, sedangkan kemajuan fizikal projek masih belum mencapai tahap yang disasarkan.
Sehubungan itu, beliau menyatakan sokongan terhadap siasatan telus PAC dan menggesa supaya saksi daripada Kementerian Kerja Raya (KKR) serta JKR Sabah dipanggil bagi menjelaskan pelaksanaan projek, termasuk perkara berkaitan perbelanjaan dan penamatan kontrak PDP.
“Saya yakin Hajiji amat mengalu-alukan siasatan telus ini. Nothing to hide (tiada yang perlu disembunyikan). Biar PAC panggil saksi daripada Kementerian Kerja Raya (KKR) dan JKR Sabah untuk meneliti ke mana wang itu mengalir sewaktu tempoh penutupan kontrak PDP era Warisan,” katanya.
Aksyah turut menggesa PAC meneliti syarikat yang mendapat manfaat daripada penamatan kontrak berkenaan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab terhadap masalah pelaksanaan projek.
Dalam pada itu, beliau mendakwa kerajaan GRS pimpinan Hajiji sedang berusaha mempercepatkan pelaksanaan projek berkenaan sejak mengambil alih pentadbiran negeri pada penghujung 2020.
Menurutnya, kemajuan fizikal LPB Sabah Fasa 1A mencapai 89.54 peratus setakat September 2026, manakala lapan pakej sepanjang 177 kilometer dijadual dibuka secara berperingkat sebelum penghujung tahun ini.
Baki pakej Fasa 1B pula, katanya, sedang dipercepatkan mengikut jadual baharu.
Aksyah menggesa supaya laporan audit berkenaan tidak digunakan untuk mengelirukan rakyat, sebaliknya prosiding PAC dimanfaatkan bagi mengenal pasti punca sebenar kelewatan projek serta pihak yang bertanggungjawab.
Kenyataan itu merupakan pendirian Aksyah berhubung isu berkenaan, manakala dakwaan mengenai punca kelewatan dan pengurusan kontrak PDP perlu dinilai bersama hasil audit serta penjelasan pihak berkaitan.-DAKWAT RAKYAT POST
