KENINGAU: Keperluan mewujudkan Sekolah Dalam Hospital (SDH) di Keningau perlu diberikan perhatian bagi memastikan pelajar yang menjalani rawatan di hospital tidak tercicir daripada pendidikan.
Pengerusi Sabah NET Sdn Bhd merangkap Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Keningau, Datuk Azman Haji Ruslan berkata, terdapat pelajar yang memerlukan rawatan jangka pendek atau panjang di hospital, selain ada yang terpaksa menemani ahli keluarga yang menerima rawatan.
Menurutnya, keadaan itu berpotensi menjejaskan pembelajaran sekiranya tiada kemudahan pendidikan bersesuaian disediakan untuk mereka.
Sehubungan itu, beliau berharap cadangan mewujudkan SDH di Keningau dapat diberikan perhatian sewajarnya melalui kerjasama pihak berkaitan bagi memastikan kesinambungan pendidikan pelajar terus terpelihara.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Sumilau Speed Roadshow Peringkat Daerah Keningau di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Apin-Apin, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Azman memuji usaha pihak sekolah menganjurkan program berkenaan yang memberi pendedahan awal kepada pelajar dalam bidang sains, teknologi dan kemahiran.
Beliau berharap program seumpama itu dapat menyemai minat serta membina keyakinan pelajar untuk melanjutkan pengajian dan menceburi pelbagai bidang profesional, termasuk perubatan, kejuruteraan dan perakaunan.
Azman turut menyentuh cabaran kekurangan doktor, khususnya di Sabah, yang memerlukan usaha berterusan untuk melahirkan lebih ramai anak tempatan berkelayakan dalam bidang perubatan.
Katanya, usaha memperkasa pembangunan bakat tempatan itu penting bagi membantu memenuhi keperluan tenaga profesional kesihatan di negeri ini.-DAKWAT RAKYAT POST
