TAWAU: Kadar pengangguran Sabah yang masih antara tertinggi di negara ini menuntut golongan belia memanfaatkan peluang pekerjaan dan meneroka sumber pendapatan sendiri, termasuk menerusi ekonomi gig serta perniagaan kecil.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Syed Ahmad Syed Abas berkata, usaha membuka lebih banyak peluang pendapatan perlu terus dipertingkatkan.
Sehubungan itu, Karnival Gigpreneur, Ekonomi dan Kerjaya (G.E.K) ESS ZONE 2026 dianjurkan bagi membuka ruang kepada masyarakat meneroka peluang jana pendapatan, pekerjaan, dan perniagaan.
Sebanyak 200 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi penyertaan 10 jabatan kerajaan dan swasta dalam karnival berkenaan.
Beliau berkata, anak muda juga perlu meluaskan pilihan dengan mempertimbang pekerjaan sendiri tanpa hanya bergantung kepada pekerjaan makan gaji.
“Kita sedar kadar pengangguran di Sabah antara yang tertinggi di Malaysia. Bagaimanapun, kita tidak seharusnya hanya mengharapkan pekerjaan makan gaji kerana ada peluang untuk bekerja sendiri.
“Walaupun bermula secara kecil-kecilan dari rumah, usaha itu boleh membantu menambah pendapatan keluarga. Ada yang bermula dengan membuat kek di rumah sebelum berkembang menjadi usahawan yang mempunyai kilang sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mewakili Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan pada karnival berkenaan di sini, hari ini.
Syed Ahmad berkata, perkembangan teknologi membuka pelbagai peluang kepada masyarakat untuk menambah pendapatan keluarga, termasuk melalui perniagaan yang boleh diusahakan dari rumah.
Katanya, kemudahan telefon pintar membolehkan belia mengakses maklumat dan mengenal pasti peluang bersesuaian dengan kemahiran dan minat masing-masing.
“Rebutlah peluang kerana banyak karnival atau acara yang membimbing penduduk supaya dapat berdikari dan terus menjana pendapatan sendiri.
“Kita tidak boleh mengharapkan peluang datang sendiri ketika duduk di rumah. Jadi, kita harus berusaha,” katanya.
Beliau berharap penganjuran karnival itu dapat diteruskan bagi membantu lebih ramai belia mendapatkan pekerjaan dan membina sumber pendapatan, sekali gus menyokong usaha mengurangkan pengangguran di Sabah.
Terdahulu dalam teks ucapan Nizam yang dibacakan oleh beliau berkata, berdasarkan laporan Tenaga Buruh 2025, kadar pengangguran Sabah dilaporkan sebanyak 7.2 peratus.
Perbezaan itu menunjukkan usaha memperluas peluang pekerjaan dan meningkatkan kebolehpasaran tenaga masih menjadi keutamaan di Sabah.-DAKWAT RAKYAT POST
