TAWAU: Usaha memperluas peluang pekerjaan dan sumber pendapatan kepada masyarakat menjadi antara pendekatan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) bagi membantu membendung kegiatan jenayah di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).
Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, Datuk Jamaluddin Mohd Ali berkata, ekonomi dan keselamatan saling berkait kerana kedua-duanya mempengaruhi kesejahteraan hidup masyarakat.
“Tanpa keselamatan, ekonomi tidak boleh berkembang. Tetapi kalau ekonomi tidak bagus, ia juga boleh menyumbang kepada jenayah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Karnival Gigpreneur, Ekonomi dan Kerjaya (G.E.K) ESS ZONE 2026 di sini, hari ini.
Jamaluddin berkata, program itu bertujuan membuka pemikiran masyarakat, khususnya belia, berhubung peluang menjana pendapatan tanpa hanya bergantung kepada pekerjaan makan gaji.
Jelasnya, walaupun ekonomi gig sering dianggap sebagai pekerjaan sementara, ia boleh menghasilkan aliran tunai yang stabil sekiranya diusahakan dengan baik.
“Antara bidang yang boleh diteroka ialah penciptaan kandungan digital, perkhidmatan mak andam, pembaikan penghawa dingin, kerja paip dan pelancongan. Tidak perlu pergi jauh daripada Sabah. Di sini banyak peluang yang disediakan,” katanya.
Menyentuh berhubung karnival itu, ia merupakan program julung kali diadakan dan menyasarkan kehadiran 3,000 pengunjung, dengan 1,500 orang sudah mendaftar.
Menurutnya, program berkenaan turut dirancang untuk diperluas ke daerah lain dalam ESSZONE, termasuk daerah Kudat, Sandakan dan Beluran.
Sementara itu, Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, usaha membantu masyarakat ESSZONE memperoleh pendapatan yang stabil turut menggalakkan mereka bersama-sama menjaga keselamatan kawasan masing-masing.
“Apabila ada pihak yang mengganggu ketenteraman sehingga menggugat ekonomi penduduk, kita berharap mereka menjadi mata dan telinga dengan menyalurkan maklumat kepada pihak keselamatan,” katanya.
Beliau berkata, usaha menyediakan peluang pekerjaan dan pendapatan itu diharap dapat mengukuhkan kerjasama masyarakat dengan pihak keselamatan dalam memelihara keamanan di pantai timur Sabah.-DAKWAT RAKYAT POST
