TENOM: Tenom menyasarkan pengeluaran kopi tempatan mampu menampung sekurang-kurangnya 50 peratus keperluan empat kilang kopi di daerah itu menjelang 2030 menerusi usaha memperluas kawasan penanaman dan meningkatkan hasil pengeluaran.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, berkata kira-kira 70 ekar tanah sudah dikenal pasti untuk tanaman kopi baharu di daerah itu setakat ini.
Katanya, pemilik tanah yang berminat mengusahakan tanaman berkenaan digalakkan mendaftarkan tanah masing-masing bagi membolehkan lebih banyak kawasan penanaman kopi dibangunkan.
“Bagi tahun ini, kita membuka peluang kepada orang ramai yang berminat untuk menanam kopi supaya mendaftarkan tanah masing-masing.
“Setakat ini, kita sudah memperoleh kira-kira 70 ekar bagi tanaman kopi baharu di Tenom dan saya berharap jumlah itu akan terus meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pesta Kopi Tenom 2026 di Dewan Datuk Seri Panglima Antanum, di sini, hari ini.
Jamawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata, usaha memperluas penanaman kopi akan disertai sokongan kepada petani bagi meningkatkan pengeluaran untuk memenuhi keperluan kilang pemprosesan kopi tempatan.
Bagaimanapun, katanya, tanaman kopi memerlukan kira-kira tiga tahun sebelum mula mengeluarkan hasil, manakala harga kopi kering ketika ini dianggarkan RM20 sekilogram.
Menurutnya, antara cabaran utama yang perlu ditangani ialah proses pengeringan kopi bagi memastikan pengendalian hasil lebih cekap dan teratur.
Sehubungan itu, katanya, pembinaan kilang pengeringan kopi di Tenom sudah diluluskan Kementerian Pertanian dan kini dalam proses tender sebelum dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Masalah berkaitan pengeringan dan sebagainya akan kita cuba atasi melalui pembinaan kilang pengeringan kopi di Tenom.
“Projek itu sudah diluluskan kementerian dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat. Ketika ini, ia sedang dalam proses tender,” katanya.
Beliau berharap kemudahan berkenaan dapat membantu mengatasi kekangan pemprosesan, selain merangsang pengeluaran kopi tempatan bagi memastikan bekalan mencukupi untuk memenuhi permintaan industri di daerah itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Jamawi bersama Pegawai Daerah Tenom, Alexander Liew dan pegawai kementerian turut menyambut ketibaan penumpang tren ekspres pertama dari Tanjung Aru ke Tenom, hari ini.
Perkhidmatan tren khas itu dijadual beroperasi selama tiga hari bermula hari ini hingga Ahad, sekali gus memberi peluang kepada orang ramai mengunjungi Tenom sempena Pesta Kopi Tenom 2026.-DAKWAT RAKYAT POST
