BALIK PULAU: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menyita peralatan perniagaan di dua premis makanan yang dikendalikan warga asing dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu di Jalan Sungai Burung, di sini, pada Khamis.
Menurut kenyataan di laman Facebook rasmi Majlis Bandaraya Pulau Pinang, operasi yang dijalankan dari jam 8 malam hingga 11.30 malam pada 22 Oktober itu turut menyaksikan pengeluaran dua kompaun atas kesalahan berkaitan pelesenan perniagaan dan keperluan kesihatan pengendali makanan.
Satu kompaun dikeluarkan kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen, manakala satu lagi membabitkan kegagalan pengendali makanan mengemukakan atau membuktikan pengesahan kad atau surat suntikan anti-tifoid ketika pemeriksaan dijalankan.
Operasi bersepadu itu melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Pulau Pinang, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta beberapa jabatan MBPP, termasuk Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasaan.
Setiap agensi melaksanakan pemeriksaan serta mengambil tindakan mengikut bidang kuasa masing-masing.
Menurut MBPP, tindakan penguatkuasaan dilaksanakan berdasarkan peruntukan undang-undang berkaitan, termasuk Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Undang-Undang Kecil Penjaja MPPP 1979.
MBPP turut mengingatkan semua pengusaha perniagaan supaya memastikan operasi dijalankan dengan lesen dan kelulusan yang sah serta mematuhi segala syarat dan peraturan ditetapkan.
Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan tindakan penguatkuasaan, termasuk pengeluaran kompaun, notis dan sitaan, mengikut peruntukan undang-undang berkaitan.
Pemilik premis juga diingatkan supaya tidak menyewakan premis kepada pengusaha tanpa memastikan pematuhan terhadap keperluan undang-undang.
Selain itu, majikan perlu memastikan pekerja warga asing yang digajikan memiliki dokumen sah serta permit kerja yang bersesuaian dan diluluskan pihak berkuasa berkaitan.
MBPP menegaskan pihaknya akan terus bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain menerusi operasi bersepadu bagi memperkukuh pematuhan undang-undang serta memastikan persekitaran perniagaan di Pulau Pinang lebih teratur, selamat dan terkawal.-DAKWAT RAKYAT POST
