Kuala Lumpur: Satu kajian terbaharu mendedahkan lapangan terbang terus menjadi ‘pusat’ kegiatan penyeludupan haiwan dilindungi spesies ungka dari Asia Tenggara.
Penemuan membimbangkan itu dibentangkan hasil laporan terbaharu Agensi Pemantau Perdagangan Hidupan Liar (TRAFFIC) bertajuk ‘Dari Kanopi ke Kabin: Penyeludupan Ungka Asia Tenggara Melalui Udara’ yang diterbitkan sempena sambutan Hari Ungka Sedunia pada 24 Oktober.
TRAFFIC dalam kenyataannya semalam memaklumkan siri rampasan besar-besaran di lapangan terbang membongkar corak jelas aktiviti penyeludupan ungka yang disembunyikan di dalam bagasi daftar masuk dengan majoritinya diseludup ke India.
Berdasarkan data laporan itu, sekurang-kurangnya 86 ekor ungka berjaya dipintas dan diselamatkan dalam tempoh 32 bulan antara Januari 2024 hingga Ogos 2026.
Kesemua haiwan primat itu ditemui dalam 33 kes penyeludupan antarabangsa di lapangan terbang.
Aktiviti itu membabitkan rantau Asia Tenggara sebagai titik punca, transit dan pengumpulan ungka.
“Modus operandi digunakan sindiket adalah dengan menyumbat ungka itu ke dalam bekas bersaiz kecil atau bakul plastik sebelum disembunyikan di dalam bagasi daftar masuk untuk penerbangan komersial yang memakan masa beberapa jam.
“Jenayah penyeludupan ini didapati paling kerap membabitkan spesies siamang dan ungka,” katanya.
Secara keseluruhan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dikesan sebagai lapangan terbang yang paling kerap dikaitkan dengan aktiviti haram ini, apabila ia bertindak sebagai titik pelepasan atau transit.
Sementara itu, Lapangan Terbang Chennai dan Lapangan Terbang Kempegowda di India menjadi destinasi akhir yang paling kerap dikesan oleh pihak berkuasa.
Data TRAFFIC turut menunjukkan statistik kes melonjak tinggi pada tahun 2025 dengan majoriti tangkapan berlaku di India, namun aliran ini berubah pada tahun 2026 apabila lebih banyak kegiatan haram ini digagalkan di Malaysia dan Thailand sebelum haiwan itu sempat dibawa keluar negara.
Peralihan trend ini membuktikan berlakunya peningkatan keupayaan pengesanan di peringkat awal rantaian penyeludupan oleh pihak berkuasa tempatan.
Mengulas mengenai situasi itu, Pengarah TRAFFIC di Asia Tenggara, Kanitha Krishnasamy menegaskan bahawa penyeludupan beberapa ekor ungka bagi setiap penerbangan mungkin kelihatan kecil jika dilihat secara berasingan.
Bagaimanapun, ia akhirnya membawa kesan yang amat membinasakan terhadap populasi hidupan liar di habitat asal.
Kenyataan itu disokong Pegawai Data dan Penyelidikan TRAFFIC di Asia Tenggara, Wong Jye Wen yang menyatakan bahawa Asia Tenggara terus menjadi hab kritikal yang menghubungkan rantaian bekalan hidupan liar ke pasaran luar di Asia.
Golongan penyeludup pula dilihat sentiasa mengubah taktik mereka seiring dengan peningkatan usaha penguatkuasaan.
“Pada masa ini, semua spesies ungka adalah dilindungi di bawah undang-undang hidupan liar kebangsaan di negara asal masing-masing.
“Malah perdagangan komersial membabitkan spesis yang ditangkap di habitat liar adalah dilarang sama sekali mengikut Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam Fauna dan Flora Liar (CITES),” katanya.
Dalam kes terbaharu pada Jun lalu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) berjaya menyelamatkan enam ekor ungka yang cuba diseludup keluar seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun melalui KLIA.
Semua haiwan liar dilindungi itu yang disembunyikan di dalam bagasi cuba diseludup ke Hyderabad, India.
Difahamkan harga ungka di pasaran gelap boleh melonjak sekitar RM170,000 seekor bergantung kepada spesies dan kerumitan penyeludupan.
Kredit sumber: Harian Metro
