TAWAU: Tiga lelaki termasuk dua beradik cedera dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Batu 15, Jalan Apas, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 7.20 malam itu, penunggang motosikal berusia 53 tahun mengalami lebam pada tangan, kaki kiri dan muka, manakala seorang lelaki berusia 30 tahun patah tangan serta adiknya, 27, cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, kejadian bermula apabila sebuah motosikal Yamaha yang ditunggang lelaki berusia 53 tahun dipercayai hilang kawalan lalu terbabas, menyebabkan mangsa terjatuh di atas jalan raya.
Katanya, dua beradik yang menaiki Toyota Hilux kemudian berhenti dan turun daripada kenderaan untuk membantu penunggang motosikal terbabit.
“Bagaimanapun, sebuah Perodua Bezza yang dipandu seorang lelaki dari arah Balung menuju ke bandar Tawau dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar beberapa kenderaan di lokasi kejadian.
“Dua beradik terbabit tidak sempat menyelamatkan diri lalu dilanggar, manakala penunggang motosikal sempat menyelamatkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rosdi berkata, abang kepada lelaki berkenaan patah tangan dan masih menerima rawatan di hospital, manakala adiknya yang cedera ringan dibenarkan pulang pagi tadi.
Menurutnya, kecederaan penunggang motosikal pula berpunca daripada kejadian terjatuh daripada motosikalnya, manakala pemandu Bezza mengadu sakit di bahagian dada.
“Pemandu Perodua Bezza disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dan sampel darahnya diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia Sabah bagi analisis,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.-DAKWAT RAKYAT POST
