TAWAU: Tiga lelaki tempatan ditahan selepas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah merampas 170,800 batang rokok disyaki tidak bercukai dalam dua serbuan berasingan di Kampung Sri Aman, Jalan Jade Batu 3, di sini, awal pagi tadi.
Dalam operasi berkenaan, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza turut dirampas, menjadikan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM350,440.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, kedua-dua serbuan dilaksanakan oleh Unit Task Force dan Unit Gempur Marin kira-kira jam 2.15 pagi dan 2.30 pagi.
Menurutnya, serbuan pertama di sebuah jeti membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 29 dan 42 tahun.
“Pemeriksaan menemukan 98,400 batang rokok pelbagai jenama yang dipercayai tidak bercukai selain sebuah Perodua Alza berwarna hitam.
“Nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dalam serbuan pertama dianggarkan RM229,120,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, serbuan kedua yang dilakukan di sebuah rumah berhampiran lokasi pertama membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki tempatan berusia 42 tahun.
Pemeriksaan lanjut di rumah berkenaan menemukan 72,400 batang rokok pelbagai jenama yang disyaki tidak bercukai, dengan nilai rampasan dianggarkan RM121,320.
Ahmad Amri berkata, kesemua suspek bersama barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Akta Kastam 1967.
Beliau menegaskan PPM Wilayah 4 Sabah akan terus mempergiat risikan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan rentas sempadan yang boleh menjejaskan hasil serta kepentingan ekonomi negara.-DAKWAT RAKYAT POST
