KUALA LUMPUR: Punca kematian seorang lelaki berusia 42 tahun yang meninggal dunia ketika dalam tahanan polis pada 1 Oktober lalu masih menunggu keputusan analisis makmal, menurut Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.
Pengarah JIPS, CP Dato’ Aida Abdul Hamid berkata, hasil bedah siasat mendapati tiada kecederaan pada organ dalaman lelaki berkenaan, namun terdapat beberapa kecederaan pada bahagian luaran tubuhnya.
Menurutnya, lelaki terbabit ditahan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras pada 19 September lalu bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, pada 30 September, lelaki itu dirujuk ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM), Cheras, untuk mendapatkan rawatan.
“Lelaki berkenaan diberikan rawatan awal oleh doktor dan disahkan meninggal dunia pada 1 Oktober 2026, jam 1.52 pagi,” menurut kenyataan JIPS.
Susulan kejadian itu, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT), JIPS Bukit Aman meneruskan siasatan dari pelbagai sudut.
Aida berkata, setakat ini, pihak USJKT sudah merakam percakapan 78 saksi yang terdiri daripada pegawai polis, orang awam, pegawai perubatan, pakar perubatan forensik, wakil Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) serta dua ahli keluarga si mati.
Katanya, kes berkenaan turut dirujuk kepada Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) selaras dengan Seksyen 26 Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2022 (Akta 839).
Beliau menegaskan bahawa pihak polis komited terhadap prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan keadilan dalam mengendalikan insiden seumpama itu.
Orang ramai turut diminta memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara telus serta mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.
JIPS memberi jaminan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku oleh mana-mana pihak dan akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peraturan serta undang-undang yang berkuat kuasa.
Pada 17 Oktober, media melaporkan, seorang ahli keluarga lelaki itu menyerahkan memorandum kepada PDRM bagi menuntut kes tersebut diklasifikasikan dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.-DAKWAT RAKYAT POST
