TUMPAT – Hajat seorang peniaga dalam talian untuk menjual pelbagai jenis produk kecantikan yang diseludup dari Thailand di akaun TikTok miliknya tidak kesampaian apabila dicekup di kawasan Jambatan Ular, Kampung Pulau Ular dekat Pengkalan Kubor di sini semalam.
Wanita berusia 32 tahun yang berasal dari Wakaf Bharu di sini ditahan kira-kira pukul 4 petang ketika membawa kesemua produk kosmetik bernilai RM770 itu di dalam sebuah kereta jenis Honda Jazz.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, anggota Batalion 9 PGA pada awalnya melihat sebuah kereta dipandu dalam keadaan mencurigakan ketika melakukan rondaan dengan motosikal di kawasan tersebut.
Katanya, pemeriksaan di dalam kereta dipandu wanita itu menjumpai sebanyak dua bungkusan plastik berisi pelbagai jenis produk kecantikan.
“Siasatan mendapati, 22 peket sabun, sekotak serum pemutih ketiak dan tiga lagi kotak berisi produk kecantikan itu diseludup dari Thailand dengan menggunakan laluan Sungai Golok melalui pengkalan haram.
“Wanita itu mengaku produk kecantikan tersebut akan dijual semula melalui akaun TikTok miliknya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, suspek turut memaklumkan bahawa aktiviti pembelian dan pengambilan produk kecantikan tersebut dilakukan sekali seminggu mengikut kepada permintaan pelanggan.
Katanya, kesemua produk kecantikan itu diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Bahagian Farmasi Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Kredit sumber: KOSMO! ONLINE – Disiarkan pada 23 Oktober 2026
