LAHAD DATU: Seramai 285 tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Filipina dipindahkan ke negara asal menerusi Pelabuhan ICQS Lahad Datu ke Pelabuhan Bongao, Filipina, menggunakan perkhidmatan feri komersial pada 22 Oktober lalu.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff, berkata pemindahan itu membabitkan tahanan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu dan Depot Imigresen Papar menerusi program pemindahan tahanan PATI melalui laluan laut bagi 2026.
Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 129 orang ialah lelaki dewasa, 71 perempuan dewasa, 40 kanak-kanak lelaki dan 45 kanak-kanak perempuan berusia antara empat bulan hingga 63 tahun.
“Kanak-kanak yang menyertai program ini turut diiringi oleh ibu bapa atau pengiring masing-masing bagi memastikan proses pemindahan berjalan dengan teratur,” katanya.
Beliau berkata, sebelum itu, pada 20 Oktober lalu, Depot Imigresen Kota Kinabalu turut melaksanakan pemindahan dua lelaki dewasa warga China menerusi laluan udara dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu ke Guangzhou, China.
Sitti Saleha berkata, sehingga kini, seramai 6,417 tahanan PATI pelbagai warganegara telah dipindahkan ke negara asal masing-masing.
Daripada jumlah itu, seramai 4,288 orang ialah warga Filipina, diikuti 1,789 warga Indonesia, 141 warga China, 137 warga Pakistan, 29 warga Vietnam dan 33 orang daripada negara lain.
“Kesemua tahanan PATI yang dipindahkan telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan serta memiliki dokumen perjalanan yang sah bagi melayakkan mereka mengikuti proses pemindahan ke negara asal,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya lebih peka terhadap persekitaran komuniti masing-masing dan tidak bersekongkol melindungi atau menggaji PATI.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan PATI diminta menyalurkannya melalui saluran rasmi Jabatan Imigresen Malaysia, termasuk Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di https://spab.gov.my atau Sistem Pertanyaan Online (SPO) di https://eapp.imi.gov.my.
Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah menegaskan komitmennya untuk meneruskan pelaksanaan program pemindahan tahanan PATI mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.-DAKWAT RAKYAT POST
