KOTA KINABALU: Seramai 93 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menerusi 15 operasi penguatkuasaan yang dijalankan di enam daerah di negeri ini dari 20 hingga 23 Oktober lalu.
JIM Sabah dalam kenyataan memaklumkan, seramai 255 individu diperiksa sepanjang operasi selama empat hari itu, membabitkan lokasi di Kota Kinabalu, Kudat, Keningau, Ranau, Lahad Datu dan Semporna.
Daripada jumlah itu, 93 individu ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen, terdiri daripada 64 warga Filipina, 18 warga Indonesia dan 11 warga Pakistan.
Menurut kenyataan itu, tahanan warga Filipina membabitkan 18 lelaki, 21 wanita, lapan kanak-kanak lelaki dan 17 kanak-kanak perempuan.
Bagi warga Indonesia pula, mereka terdiri daripada enam lelaki, lima wanita, lima kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan.
Sementara itu, kesemua 11 warga Pakistan yang ditahan merupakan lelaki dewasa.
JIM Sabah berkata, operasi berkenaan dilaksanakan bagi membanteras kehadiran PATI serta mengekang penyalahgunaan kemudahan imigresen di negeri ini.
Jabatan itu turut menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan di lokasi strategik seluruh Sabah bagi memastikan undang-undang imigresen dipatuhi.
Orang ramai juga diingatkan supaya tidak melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar undang-undang negara.
Sebarang maklumat berkaitan kegiatan PATI boleh disalurkan kepada JIM menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) atau Sistem Pertanyaan Online (SPO) untuk tindakan lanjut.-DAKWAT RAKYAT POST
