SANDAKAN: Persatuan Pesara Polis Sabah (PPPS) menerima sijil penghargaan sempena penganjuran Borneo Entrepreneur and Industrial Award (BEIA) 2026 sebagai pengiktirafan terhadap usaha persatuan itu membimbing ahlinya menceburi bidang keusahawanan.
Presiden PPPS, Dato’ Seri Dr. Zulfakar Hashim berkata, pengiktirafan berkenaan mencerminkan usaha persatuan memperkasa pesara polis menerusi penyediaan peluang perniagaan, jaringan industri dan platform sokongan bagi membantu mereka menjana pendapatan.
Menurutnya, peranan PPPS bukan hanya tertumpu kepada menjaga kebajikan pesara polis, malah turut merangkumi usaha membangunkan potensi ekonomi ahli selepas menamatkan perkhidmatan.
“PPPS bukan sahaja menjaga kebajikan pesara polis, tetapi berjaya mengubah mereka menjadi usahawan melalui jaringan dan peluang industri yang kami sediakan,” katanya.
Antara bidang yang diceburi ahli PPPS termasuk pengeluaran air mineral, penanaman Sacha Inchi, perusahaan rumah burung walit serta sektor telekomunikasi menerusi BeOne.
Menurut Zulfakar, usaha meneroka pelbagai bidang perniagaan itu membuka ruang kepada ahli untuk memanfaatkan peluang ekonomi yang mempunyai potensi komersial, selain membina sumber pendapatan selepas bersara.
Pengiktirafan sempena BEIA 2026 itu turut memperlihatkan peranan PPPS sebagai platform yang menyokong pembangunan keusahawanan dalam kalangan pesara polis, sekali gus membolehkan mereka terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.
Sementara itu, Penasihat Kehormat PPPS, Datuk Saiman Kasran berkata, pencapaian berkenaan menjadi dorongan kepada persatuan untuk terus memperluas usaha memperkasa ahli dalam bidang keusahawanan.
“Syukur alhamdulillah, tahniah diucapkan kepada PPPS, satu pencapaian yang baik kepada semua ahli,” katanya yang juga Ahli Suruhanjaya Pasukan Polis Malaysia.-DAKWAT RAKYAT POST
