LAHAD DATU: Enam individu terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian pergaduhan yang dipercayai berpunca daripada isu cemburu di sebuah restoran di bandar ini.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Hj Dzulbaharin Hj Ismail mengesahkan tangkapan berkenaan yang dilakukan sepasukan anggota polis di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu kira-kira jam 8 malam, semalam.
Kesemua individu berusia antara 19 hingga 38 tahun itu ditahan selepas polis menerima maklumat berhubung kejadian berkenaan.
Siasatan awal mendapati pergaduhan yang berlaku di Restoran Fook Yuen dipercayai bermula akibat isu cemburu membabitkan seorang pekerja lelaki dengan seorang pekerja wanita di premis berkenaan.
Situasi itu kemudian dipercayai melibatkan teman lelaki pekerja wanita terbabit serta beberapa individu lain sehingga mencetuskan pergaduhan.
Kejadian berkenaan turut mendapat perhatian orang ramai selepas rakaman insiden itu tular di media sosial.
Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti peranan setiap individu yang terlibat dalam kejadian itu.-DAKWAT RAKYAT POST
