KOTA KINABALU: Pendedahan awal kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) perlu diperkukuh bagi melahirkan generasi muda Sabah yang kreatif, berkemahiran serta mampu bersaing dalam dunia yang semakin berteraskan teknologi.
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim berkata, inisiatif pendidikan di peringkat akar umbi, termasuk penganjuran Karnival Inovasi Cilik Sabah 2026, memainkan peranan penting dalam memperkenalkan pelajar kepada dunia inovasi dan pendidikan berasaskan teknologi.
Menurutnya, pendedahan sedemikian dapat menggalakkan lebih ramai anak Sabah meneroka bidang STEM, selain membantu mengembangkan potensi, kreativiti dan kemahiran berfikir secara kritis.
“Program seumpama ini merupakan inisiatif di peringkat akar umbi yang amat signifikan dalam mendedahkan para pelajar kepada dunia inovasi pendidikan, selari dengan perkembangan teknologi dan keperluan masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Inovasi Cilik Sabah 2026 di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Negeri Sabah, di sini, kelmarin.
Program berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Padang, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Kinabalu dan Jemaah Nazir Sabah.
Azrul berkata, usaha memperkukuh pendidikan STEM memerlukan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak, khususnya warga pendidik dan ibu bapa, bagi memastikan pelajar mendapat peluang meneroka bidang berkenaan sejak di bangku sekolah.
Katanya, penglibatan pelbagai pihak penting dalam membina asas pendidikan yang mampu melahirkan generasi muda dengan pengetahuan, kemahiran dan daya pemikiran yang bersesuaian dengan perkembangan teknologi semasa.
Beliau yakin, menerusi pelbagai inisiatif pendidikan yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Sabah serta sokongan semua pihak berkepentingan, usaha melahirkan generasi muda yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing dapat direalisasikan.
Justeru, kerjasama berterusan antara kerajaan, institusi pendidikan, guru dan ibu bapa perlu diperkukuh bagi memastikan potensi generasi muda Sabah dapat dikembangkan seiring keperluan masa hadapan.-DAKWAT RAKYAT POST
