KUCHING: Terowong jalan raya pertama di Sarawak sepanjang 2.24 kilometer yang sedang dibina di Bukit Pagon, Lawas menerusi Projek Sarawak-Sabah Link Road Fasa 2 (SSLR2) bakal menempa satu lagi sejarah dalam pembangunan infrastruktur di negeri ini.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Datu Dr Cassidy Morris berkata, pembinaan terowong berkenaan mencerminkan keupayaan kejuruteraan dalam mengatasi cabaran muka bumi pergunungan bagi membuka laluan baharu antara Sarawak dan Sabah.
Menerusi catatan di Facebook, Cassidy berkata pembinaan jalan raya merentasi kawasan pergunungan bukan sesuatu yang mudah, namun kepakaran kejuruteraan, teknologi dan semangat untuk merealisasikannya membolehkan cabaran itu diatasi.
“Dahulu gunung menjadi penghalang, kini kejuruteraan membuka laluan.
“Satu lagi sejarah sedang kita lakarkan!” katanya.
Menurut Cassidy, projek itu bukan sekadar melibatkan pembinaan terowong menembusi gunung, tetapi turut menjadi langkah penting dalam memperkukuh jaringan perhubungan serta meningkatkan aksesibiliti antara kedua-dua negeri.
Terowong itu bakal menjadi satu lagi mercu tanda kejuruteraan infrastruktur Sarawak, khususnya dalam usaha meningkatkan hubungan jalan raya di kawasan utara negeri ini.
Projek SSLR2 yang dijangka siap pada 2029 bakal memainkan peranan penting dalam memperkukuh kesalinghubungan darat antara Sarawak dan Sabah, sekali gus membuka peluang kepada pergerakan penduduk serta aktiviti ekonomi yang lebih lancar.
Kredit sumber: Utusan Borneo Online – Disiarkan pada 24 Oktober 2026
