KUALA LUMPUR: Seramai 55 individu, dengan 53 daripada warga China, ditahan dalam dua serbuan berasingan menerusi Op Tembok 01/2026 bagi membanteras pelbagai kesalahan dan aktiviti jenayah membabitkan warga China di ibu negara, semalam.
Serbuan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur terhadap sebuah pusat hiburan di Jalan Chan Sow Lin, yang menjadi tumpuan warga China berhibur serta satu unit kediaman di Persiaran KLCC yang dijadikan sebagai tempat kegiatan perjudian permainan ‘poker’.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, serbuan pertama ke atas pusat hiburan itu membawa kepada penahanan 50 individu dengan 49 daripadanya adalah warga China.
Beliau berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki warga tempatan selain 26 lelaki dan 23 wanita warga China dengan kesemuanya berusia 19 hingga 44 tahun.
“Pemeriksaan mendapati, premis itu tidak mempunyai lesen hiburan sah atau kelulusan pihak berkuasa untuk beroperasi.
“Pemeriksaan turut mendapati, pekerja warga asing di premis itu bekerja tanpa permit sah, tiada dokumen perjalanan sah dan disyaki berperanan sebagai pelayan khidmat pelanggan,” katanya kepada media, hari ini.
Fadil berkata, polis turut merampas resit perniagaan, mikrofon, pemproses video LED, pembesar suara dan pengawal DJ profesional dalam serbuan berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992, Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Semua suspek dijadual dibawa ke hadapan majistret bagi permohonan reman esok (25 Oktober),” katanya.
Sementara itu, dalam serbuan kedua di sebuah kediaman di Persiaran KLCC, lima lelaki berusia 27 hingga 44 tahun, terdiri daripada seorang warga tempatan dan empat warga China, ditahan.
Mereka ini disyaki terbabit dalam kegiatan perjudian haram ‘Chinese Poker’ menggunakan daun terup.
Fadil berkata, siasatan mendapati, kediaman itu dipercayai dijadikan lokasi perjudian sejak tiga bulan lalu, dengan kegiatan beroperasi setiap hari antara jam 1 pagi hingga 3 pagi.
“Semua suspek mengaku terbabit dalam permainan berkenaan selepas menerima jemputan daripada kenalan menerusi aplikasi media sosial.
“Polis merampas sebuah meja, empat kerusi, dua dadu, sebuah mangkuk, 76 keping cip perjudian bernilai RM600, 52 keping daun terup serta wang pertaruhan RM3,870,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. Semua suspek direman tiga hari sehingga 26 Oktober ini bagi membantu siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan perjudian atau jenayah boleh menghubungi Hotline Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau balai polis berhampiran.
Kredit sumber: Berita Harian
