KUALA LUMPUR: Tahap keselamatan di semua lapangan terbang dan pintu masuk negara perlu dipertingkatkan secara menyeluruh, selain memberi keutamaan lebih besar kepada rakyat tempatan dalam pengambilan pekerja, khususnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2.
Gesaan itu disuarakan Pengerusi NGO Antarabangsa, Dato’ Dr. Mustapha Ahmad Marican, yang berpandangan bahawa aspek keselamatan negara perlu diberikan perhatian serius bagi melindungi kedaulatan Malaysia serta memelihara imej negara di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, usaha memperkukuh keselamatan tidak seharusnya terhad kepada sistem kawalan, pemeriksaan penumpang dan penguatkuasaan undang-undang, sebaliknya turut merangkumi aspek pengurusan tenaga kerja di lapangan terbang.
Beliau berkata, lapangan terbang antarabangsa merupakan pintu masuk utama yang mencerminkan imej Malaysia kepada pelancong, pelabur dan pelawat dari seluruh dunia.
“Lapangan terbang bukan sekadar tempat ketibaan dan pelepasan penumpang. Ia juga mencerminkan identiti, imej dan jati diri negara. Oleh itu, rakyat tempatan perlu diberikan peluang yang sewajarnya untuk berkhidmat di pintu masuk utama negara,” katanya dalam satu kenyataan, Sabtu.
Mustapha berkata, pengambilan pekerja di lapangan terbang negara wajar memberikan peluang lebih luas kepada rakyat Malaysia yang berkelayakan, termasuk anak-anak Sabah dan Sarawak, berbanding kebergantungan tinggi terhadap pekerja asing.
Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang perubahan dalam komposisi tenaga kerja perlu dilaksanakan secara terancang dengan mengambil kira kelayakan, latihan, keperluan operasi serta penilaian risiko keselamatan.
Dalam perkembangan sama, beliau menggesa kawalan di semua pintu masuk dan sempadan negara dipertingkatkan bagi membanteras kegiatan penyeludupan serta pengedaran dadah yang melibatkan laluan antarabangsa.
Beliau membangkitkan kebimbangan terhadap laporan kes membabitkan individu yang membawa dadah melalui penerbangan ke Indonesia, rakyat Malaysia yang ditahan kerana membawa dadah ke Singapura serta kes tangkapan di sempadan Thailand.
Menurutnya, kes seumpama itu perlu diberikan perhatian serius bagi mengelakkan Malaysia dilihat sebagai laluan transit bagi aktiviti penyeludupan dadah antarabangsa.
“Keselamatan pintu masuk negara tidak boleh dipandang ringan. Kita perlu memastikan setiap laluan masuk dan keluar dikawal dengan berkesan supaya Malaysia tidak disalahgunakan sebagai tempat transit bagi kegiatan penyeludupan dadah,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama bersepadu antara agensi penguat kuasa, pihak pengurusan lapangan terbang, pasukan keselamatan dan agensi berkaitan di peringkat antarabangsa bagi memastikan usaha membanteras kegiatan berkenaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Selain lapangan terbang dan pintu masuk rasmi, Mustapha berkata pemantauan di sepanjang sempadan negara juga perlu dipertingkatkan, khususnya di kawasan berisiko yang mempunyai laluan tidak rasmi atau dikenali sebagai lorong tikus.
Katanya, pengawasan sempadan tidak boleh hanya bergantung pada pemeriksaan di pintu masuk rasmi, sebaliknya perlu diperluas bagi mengekang penyeludupan dadah, barangan terlarang dan jenayah rentas sempadan.
Antara langkah yang dicadangkan termasuk penggunaan teknologi pengawasan moden, penambahan rondaan di kawasan berisiko, perkongsian maklumat risikan serta peningkatan kerjasama dengan negara jiran.
Beliau turut menegaskan bahawa keberkesanan penguatkuasaan perlu disokong prosedur operasi yang jelas, latihan berterusan dan pemantauan integriti bagi memastikan setiap anggota menjalankan tanggungjawab dengan amanah.
Mengakhiri kenyataannya, Mustapha berkata keselamatan lapangan terbang dan sempadan negara merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan komitmen berterusan kerajaan, agensi penguat kuasa, sektor swasta dan masyarakat.
Beliau berharap kerajaan dapat meneliti semula dasar pengambilan pekerja di lapangan terbang, memperkukuh sistem kawalan keselamatan serta meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan di semua pintu masuk negara.
Katanya, keutamaan kepada pekerja tempatan yang berkelayakan, pengurusan keselamatan profesional dan kawalan sempadan yang menyeluruh merupakan antara pendekatan penting bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap keupayaan negara melindungi keselamatan serta kedaulatannya.-DAKWAT RAKYAT POST
