BANDAR GAZA: Seribu tan tepung dihantar ke Semenanjung Gaza pada hari ini, manakala seribu tan lagi dijangka tiba pada Isnin, kata Ketua Persatuan Pembuat Roti Semenanjung Gaza Abdel Nasser al-Ajrami kepada RIA Novosti.
Sekatan di pintu sempadan serta kemasukan bantuan kemanusiaan dan bekalan makanan, termasuk tepung, telah memburukkan lagi situasi makanan di Semenanjung Gaza, dengan sumber tempatan melaporkan ancaman kebuluran yang kembali berulang.
“Seribu tan tepung tiba di Semenanjung Gaza hari ini, dan seribu tan lagi dijangka tiba esok. Keseluruhan bekalan itu akan diagihkan kepada kedai roti dengan sokongan daripada Program Makanan Sedunia (WFP), dan tepung berkenaan tidak akan dijual di pasaran,” kata al-Ajrami.
Tepung yang dihantar setiap hari hanya mencukupi untuk membolehkan kedai roti beroperasi selama sehari sahaja, menyebabkan penduduk Gaza sangat memerlukan bekalan tambahan, katanya.
“Bagi mengatasi krisis ini dan memulakan semula operasi di kedai-kedai roti yang ditutup di wilayah berkenaan, sebuah kilang gandum mesti dibenarkan beroperasi semula,” tambahnya.
Walaupun gencatan senjata berkuat kuasa di Semenanjung Gaza sejak Oktober 2025, tentera Israel terus melancarkan serangan ke atas wilayah Palestin itu.
Menurut penilaian PBB, situasi kemanusiaan di
Semenanjung Gaza kekal meruncing, dengan kemusnahan meluas, gangguan kepada perkhidmatan perubatan serta cabaran berterusan dalam menyediakan makanan dan bekalan asas kepada penduduk.
Kredit sumber: BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI/Berita Harian – Disiarkan pada 25 Oktober 2026
