MUKAH: Seorang wanita tempatan berusia 48 tahun ditahan polis selepas ujian saringan awal mendapati dia positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine dalam operasi di Pasar Lama Mukah (Dataran Udang), di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias, berkata suspek ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Mukah menerusi Op Tapis Khas kira-kira jam 4.30 petang.
Menurutnya, pemeriksaan awal di kawasan parkir motosikal pasar berkenaan tidak menemukan sebarang barang salah.
“Suspek kemudian dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mukah untuk tindakan dan siasatan lanjut.
“Ujian saringan awal polis terhadap suspek mendapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek mengaku terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah sejak 2024 hingga kini.
Katanya, suspek yang tidak bekerja itu dibawa untuk proses pengambilan cap jari sebelum ditahan di lokap Balai Polis Mukah bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki menggunakan dadah secara salah.
Rizal berkata, polis kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti serta mengesan sumber bekalan dadah yang diperoleh suspek.
Beliau menegaskan komitmen Polis Daerah Mukah dalam membanteras kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah, selain menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kepada pihak polis.-DAKWAT RAKYAT POST
