PENAMPANG: Dua lelaki dan seorang wanita cedera, termasuk seorang parah, selepas sebuah Toyota Avanza terbabas sendiri sebelum terbalik dalam kemalangan di Kampung Minintod, di sini, petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tingalan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi Sistem NG999 pada jam 5.07 petang sebelum tiba di lokasi kejadian tujuh minit kemudian.
Menurutnya, kemalangan itu melibatkan tiga mangsa, dengan seorang daripadanya berjaya keluar sendiri dari kenderaan sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Dua lagi mangsa didapati tersepit di dalam kenderaan sebelum pasukan bomba bertindak mengeluarkan mereka menggunakan peralatan menyelamat.
“Kesemua mangsa kemudian diangkat menggunakan pengusung sebelum diserahkan kepada pihak ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, seorang lelaki berusia 56 tahun yang merupakan pemandu kenderaan mengalami kecederaan ringan, manakala seorang lelaki berusia 21 tahun cedera parah.
Seorang lagi mangsa, wanita berusia 20 tahun, turut mengalami kecederaan ringan.
Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth II oleh pihak ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Zeno berkata, seramai lapan anggota BBP Penampang digerakkan ke lokasi kejadian, membabitkan enam anggota jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan dua anggota Emergency Medical Rescue Services (EMRS).
Operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada jam 5.50 petang selepas pihak bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.-DAKWAT RAKYAT POST
