PAPAR: Dua individu masing-masing lelaki dan wanita berusia lingkungan 30-an cedera selepas sebuah Perodua Myvi terbabas sendiri sebelum melanggar penghadang jalan dalam kemalangan di Kampung Padawan, di sini, petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rony Sikawan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi Sistem NG999 pada jam 4.06 petang sebelum tiba di lokasi kejadian kira-kira 22 minit kemudian.
Menurutnya, kemalangan itu membabitkan sebuah Perodua Myvi yang terbabas sendiri lalu melanggar penghadang jalan.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati terdapat dua mangsa yang mengalami kecederaan dan berada di dalam kenderaan.
“Pasukan bomba bertindak mengeluarkan kedua-dua mangsa sebelum menyerahkan mereka kepada pihak ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Papar oleh pihak ambulans.
Rony berkata, seramai lapan anggota BBP Papar bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) digerakkan ke lokasi kejadian.
Operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.40 petang selepas pasukan bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.-DAKWAT RAKYAT POST
