SANDAKAN: Koperasi Green Sabah Berhad mencatat perkembangan kewangan memberangsangkan dengan nilai pegangan aset tetap mencecah RM49.5 juta, sekali gus membuka ruang kepada koperasi itu meneroka peluang perniagaan baharu dalam sektor minyak dan gas di Sabah.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kedudukan kewangan koperasi itu meningkat daripada RM4.5 juta pada 2007 kepada RM20.4 juta pada 2024 hasil transformasi tadbir urus ke arah pengurusan yang lebih cekap dan telus.
Menurutnya, antara pencapaian penting koperasi itu ialah pembelian satu blok bangunan kedai di Bandar Megah Jaya bernilai RM4.9 juta pada 2012 serta pembiayaan penuh pembinaan Rimba Point yang menelan kos RM9.65 juta.
Rimba Point yang siap pada 2025 kini menjadi sumber pendapatan baharu menerusi penyewaan premis, manakala pendapatan tahunan koperasi dilaporkan mencecah kira-kira RM3.13 juta.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa pengurusan yang berdisiplin dan berwawasan mampu membawa perubahan yang besar,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-27 Koperasi Green Sabah Berhad di Dewan Hakka, di sini, baru-baru ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Kewangan II, Dato’ Sr Ishak Ayub.
Masidi berkata, Kerajaan Negeri menyokong hasrat koperasi itu meneroka peluang perniagaan dalam sektor minyak dan gas di Sandakan serta Lahad Datu, yang dikenal pasti sebagai sebahagian daripada kawasan pembangunan hab minyak dan gas di Pantai Timur Sabah.
Menurutnya, kedudukan kewangan dan aset yang kukuh membolehkan koperasi mempertimbangkan peluang yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Industri Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas Sabah (OGSE) 2026–2030.
Antara bidang berpotensi untuk diterokai termasuk logistik dan pengangkutan, pembekalan bahan serta peralatan industri, peralatan perlindungan diri (PPE), perkhidmatan sokongan operasi, penyewaan pejabat dan penginapan pekerja, katering serta bekalan makanan.
Sehubungan itu, beliau menyarankan pihak koperasi mengadakan sesi libat urus bersama Sabah Energy Sdn Bhd bagi mendapatkan panduan mengenai pengetahuan, kemahiran dan keupayaan yang diperlukan untuk menceburi sektor berkenaan.
Bagaimanapun, Masidi menegaskan bahawa setiap usaha pengembangan perniagaan perlu dirancang secara teliti dengan mengambil kira daya maju projek, risiko serta keupayaan koperasi melaksanakannya supaya kepentingan anggota terus terpelihara.
Beliau berkata, kekuatan sesebuah koperasi bukan sekadar diukur berdasarkan keuntungan atau nilai aset, malah turut bergantung pada kepercayaan, penglibatan dan kerjasama anggotanya.
“Keuntungan penting untuk menjamin kelangsungan perniagaan, dan manfaat kepada anggota mesti terus menjadi keutamaan,” katanya.
Dalam aspek kebajikan, Koperasi Green menyediakan khairat kematian sebanyak RM3,000 bagi anggota dan RM1,500 bagi ahli keluarga, selain bantuan kepada anggota yang dimasukkan ke hospital serta keluarga yang terjejas akibat banjir.
Koperasi itu turut menawarkan anugerah kecemerlangan akademik kepada anak anggota yang memperoleh sekurang-kurangnya 6A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Masidi yang juga antara anggota terawal koperasi berkenaan, yang dahulunya dikenali sebagai The Green Cooperative Society Limited, berkata perkembangan itu membuktikan kepentingan amanah, kesungguhan dan semangat kebersamaan dalam membangunkan organisasi yang mampan.
Beliau turut menggalakkan anggota memainkan peranan aktif dalam menentukan hala tuju koperasi, termasuk menggunakan mesyuarat agung tahunan sebagai platform menilai pencapaian, meneliti kedudukan kewangan dan mengemukakan cadangan penambahbaikan.-DAKWAT RAKYAT POST
