KUALA KURAU: Kesemua 19 kru kapal korek pasir MV VIVO ARYA yang dilaporkan tenggelam kira-kira 25 batu nautika barat laut Pulau Pasir Hitam, Perak, berjaya diselamatkan dalam operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT), semalam.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki, berkata operasi itu diaktifkan selepas Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kurau menerima panggilan kecemasan menerusi talian 999 pada jam 5.53 pagi.
Menurutnya, Operasi CARILAMAT dimulakan pada jam 6.30 pagi dengan melibatkan aset Maritim Malaysia, iaitu KM GAGAH dan Bot PERKASA 1238, serta bantuan komuniti maritim berhampiran lokasi kejadian.
“Seramai sembilan kru berjaya diselamatkan oleh kapal korek pasir MV YAODE 1 yang berada berhampiran lokasi kejadian, manakala sembilan lagi kru yang berada di dalam rakit penyelamat diselamatkan oleh MV VIVO DIYA.
“Kesemua 18 kru kemudian dibawa ke Jeti Batu Maung untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Beliau berkata, seorang lagi kru yang dilaporkan hilang, Tang Jifu, 57, warga China, ditemukan dalam keadaan selamat oleh Bot PERKASA 1238 ketika operasi sedang dijalankan.
Mangsa kemudian dibawa ke Jeti Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kurau sebelum dihantar ke hospital berhampiran bagi menjalani pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Zainudin berkata, operasi berkenaan ditamatkan secara rasmi pada jam 4.30 petang selepas kesemua 19 kru berjaya ditemukan dan diselamatkan.
Katanya, kejayaan operasi itu mencerminkan kepentingan koordinasi pantas antara aset Maritim Malaysia dan komuniti maritim dalam memastikan bantuan dapat diberikan segera ketika berlaku kecemasan di laut.
Beliau turut mengingatkan komuniti maritim supaya sentiasa mengutamakan keselamatan, termasuk memakai jaket keselamatan dengan betul serta memastikan peralatan keselamatan berada dalam keadaan baik.
“Persediaan awal seperti ini amat penting bagi mengurangkan risiko kehilangan nyawa apabila berlaku kecemasan,” katanya.
Sebarang laporan, aduan atau kecemasan di laut boleh disalurkan menerusi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kurau di talian 011-3525 9919.-DAKWAT RAKYAT POST
