PONTIAN – Biarpun hanya anak angkat, Shafie Yusof sanggup menjaga Aishah Kinuk yang tidak mampu berjalan dan bercakap selama 30 tahun selepas diserang demam panas serta sawan ketika berusia 10 tahun.
Shafie, 58, atau dikenali Tok Shafie berkata, tanggungjawab menjaga Aishah, 40, bukan sekadar amanah, sebaliknya sudah menjadi sebahagian daripada kehidupannya bersama keluarga.
“Saya menjaganya selepas ibu bapanya meninggal dunia dan kami tidak sampai hati membiarkannya begitu sahaja,” katanya di rumahnya di Parit Penghulu Ibrahim, Kampung Rimba Terjun, di sini kelmarin.
Menurutnya, ibu Aishah, Sumirah Dawin, meninggal dunia kira-kira 12 tahun lalu sebelum bapanya, Kinuk Lahi, turut meninggal dunia.
Selain Tok Shafie dan isterinya, Lilywati Padin, 50, tanggungjawab menjaga Aishah turut dipikul kakak iparnya, Shairah, 32, isteri kepada abang Aishah, Kalak Kinuk, 34.
Mereka bergilir-gilir memastikan segala keperluan wanita itu dipenuhi, termasuk makan minum dan kebersihan diri.
“Aishah masih boleh makan dan minum seperti biasa serta duduk, namun kebanyakan masa hanya berbaring di atas katil. Sekali-sekala, Aishah dibawa keluar guna kerusi roda,” katanya.
Dalam menguruskan keperluan Aishah, Tok Shafie berkata, bantuan bulanan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat digunakan antaranya untuk membeli lampin pakai buang.
Pada masa sama, Tok Shafie perlu mencari pendapatan bagi menampung keperluan keluarganya yang mempunyai 10 anak termasuk dua orang yang masih menuntut di institusi pengajian tinggi.
Bekas Ketua Kampung Kawasan 8, Mukim Rimba Terjun itu berkata, selepas tidak lagi menyandang jawatan itu, dia kini menjadi nelayan selain membantu menguruskan tapak perkhemahan berhampiran rumahnya.
“Pendapatan sebagai nelayan tidak menentu kerana bergantung pada keadaan cuaca. Ada kalanya saya memperoleh sekitar RM60 hingga RM70 sehari,” katanya yang juga bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh dibuat menerusi akaun Maybank 151025830312 atas nama Lilywati Padin atau boleh menghubungi Shafie Yusof di 011-365 40034.
Kredit sumber: KOSMO! Online – Disiarkan pada 25 Oktober 2026
