PASIR MAS: Seorang koperal Pasukan Gerakan Am (PGA) berdepan detik cemas apabila kenderaan mereka naiki dirempuh kereta dipandu ahli sindiket dadah semalam.
Insiden berlaku ketika anggota PGA berusia 41 tahun itu sedang melakukan rondaan rutin sebelum suspek merempuh kenderaannya bagi mengelak ditahan.
Mangsa yang sudah berkhidmat dalam pasukan polis sejak 14 tahun lalu berkata, dia bersama tiga rakan setugas dari Batalion 9 PGA sedang melakukan rondaan di Jalan Kedai Lama, Rantau Panjang di sini, sekitar jam 2 petang.
Menurutnya, mereka terserempak kereta model Toyota Corolla Altis dalam keadaan mencurigakan.
“Kami cuba menahan kereta itu, namun pemandunya bertindak agresif merempuh kenderaan kami,” katanya.
Walaupun berdepan impak rempuhan itu, koperal terbabit bersama rakan setugas segera keluar dari dalam kenderaan sebelum menghampiri kereta suspek.
“Kami menarik keluar suspek berusia 35 tahun dan menahan lelaki itu,” katanya.
Bagaimanapun kejadian itu menyebabkan koperal terbabit patah tangan kanan.
Kredit sumber: Berita Harian – Disiarkan pada 24 Oktober 2026
