TAWAU: Seorang pesara warga Jepun didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memandu secara cuai sehingga menyebabkan kemalangan dengan seorang penghantar makanan bermotosikal, April lalu.
Majistret Don Stiwin Malanjum menjatuhkan hukuman itu terhadap Koki Yukawa, 86, selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Jepun menerusi aplikasi Zoom.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda dan sabitan kesalahan diendors pada lesen memandunya.
Mengikut pertuduhan, Koki didakwa memandu tanpa kecermatan dan perhatian sewajarnya di simpang Taman Kuhara Indah, Jalan Kuhara, di sini, jam 3.30 petang, 22 April lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10, 000 dan boleh dipenjarakan 12 bulan serta kesalahan endos pada lesen memandu, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh memandu Toyota Rush bersama isterinya dari arah Taman Man Siu menuju ke Bank HSBC, manakala mangsa berusia 20 tahun menunggang motosikal dari arah bandar Tawau menuju ke Pasar Hot Spring.
Ketika mangsa menghampiri simpang Taman Kuhara Indah, tertuduh secara tiba-tiba keluar dari simpang berkenaan dan memasuki laluan mangsa di lorong kanan.
Jarak terlalu dekat menyebabkan mangsa gagal mengelak sebelum motosikalnya melanggar bahagian kanan belakang kenderaan milik tertuduh.
Mangsa mengalami kecederaan pada tangan kiri, manakala tertuduh tidak mengalami kecederaan.
Terdahulu, peguam Liew Mei Yee dalam mitigasinya memohon hukuman denda minimum tanpa pemenjaraan dengan mengambil kira rekod pemanduan anak guamnya selama 60 tahun tanpa pernah terbabit kemalangan jalan raya sebelum ini.
Beliau turut memohon mahkamah mempertimbangkan faktor usia, kekesalan dan keadaan kewangan tertuduh yang hanya bergantung kepada simpanan bagi menampung kehidupan selepas bersara daripada sebuah syarikat minyak dan gas di daerah ini.
Selain itu, Liew memohon tertuduh tidak dihilangkan kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu kerana memerlukan kenderaan bagi urusan harian serta kecemasan membabitkan dirinya dan isteri yang juga sudah berusia.
Katanya, pengakuan bersalah tertuduh turut menjimatkan masa dan sumber mahkamah, pendakwaan serta saksi kerana perbicaraan penuh yang dijadualkan bermula pada Isnin tidak perlu diteruskan.
Sementara itu, Pegawai Pendakwa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Tawau, Asisten Superintenden Joan Lee memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.-DAKWAT RAKYAT POST
