Oleh: Abdul Karim
HULU BERANG :Penyertaan 46 pendayung dari beberapa negeri, termasuk atlet kebangsaan dan bekas atlet negara, menyerikan penganjuran sulung Little Amazon of Terengganu River Challenge (LARC) di Sungai Berang, Ahad lalu, dalam usaha memperluas peluang pertandingan serta mengetengahkan potensi Hulu Berang sebagai lokasi sukan kayak.
Perlumbaan sejauh 10 kilometer itu menguji keupayaan peserta mengendalikan kayak di laluan sungai yang mempunyai arus deras, selekoh berliku dan halangan semula jadi, selain beberapa bahagian cetek yang menuntut kawalan serta strategi sepanjang perlumbaan.
Pengarah perlumbaan, Mohd Najib Alias, berkata sambutan yang diterima dalam edisi pertama itu memberi petunjuk positif terhadap penganjuran acara seumpamanya di Hulu Berang.
Beliau berkata penganjur turut mempertimbangkan penambahan kategori bagi edisi akan datang bagi membuka lebih banyak peluang penyertaan.
LARC menghimpunkan peserta dalam empat kategori, iaitu Lelaki Elit, Wanita dan Campuran Elit serta kategori terbuka, dengan penyertaan pendayung dari Johor, Negeri Sembilan dan Lembah Klang.
Dalam kategori Lelaki Elit, gandingan Hassan Al Basri Ali dan Muhammad Mustakim Zulkarnain muncul juara dengan catatan masa satu jam 15 minit 53 saat.
Pasangan itu sebelum ini meraih pingat perak pada Kejohanan Dunia Persekutuan Kanu Antarabangsa (ICF) 2024 di Filipina. Pasukan tuan rumah menduduki tempat kedua, manakala Kamikaze Buga di tempat ketiga.
Bekas ketua jurulatih skuad kanu kebangsaan, Muhammad Hakimi Abdullah, yang turut menyertai perlumbaan itu, berkata Malaysia mempunyai potensi untuk melahirkan atlet kayak yang mampu bersaing di peringkat Asia dan Olimpik.
Bagaimanapun, katanya, pembangunan sukan itu perlu diperkukuh dari peringkat akar umbi, termasuk melalui penganjuran lebih banyak pertandingan dalam negara bagi memberi pendedahan dan pengalaman kepada atlet.
Beliau yang pernah mengetuai skuad kanu kebangsaan pada Sukan SEA 2011, 2013 dan 2015 turut melihat Hulu Berang mempunyai kelebihan dari segi akses, kemudahan dan cabaran laluan sungai yang boleh diketengahkan sebagai sebahagian daripada kalendar pertandingan kayak.
Laluan perlumbaan bermula di Jenoba Camp Site, Belukar Bukit sebelum berakhir di CBT Kalang Rengas. Peserta menggunakan kayak jenis sit-on-top double sepanjang cabaran tersebut- DAKWAT RAKYAT POST
