MUKAH: Seorang pengawal keselamatan berusia 36 tahun ditahan polis selepas disyaki memiliki dan menyalahgunakan dadah jenis syabu dalam operasi khas di tepi Jalan Mukah-Balingian, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal bin Alias berkata, tangkapan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah menerusi Op Tapis Khas kira-kira jam 5.20 petang, 27 Oktober lalu.
Menurutnya, pemeriksaan terhadap suspek membawa kepada penemuan satu keratan tiub straw lutsinar yang mengandungi ketulan kristal disyaki methamphetamine atau syabu seberat 0.45 gram, dengan anggaran nilai rampasan RM50.
Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek turut didapati positif amphetamine dan methamphetamine.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku dadah yang dirampas itu adalah miliknya dan mengakui terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah sejak Jun 2026,” katanya dalam kenyataan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana menggunakan dadah secara salah.
Suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Mukah selepas Mahkamah Majistret Mukah meluluskan perintah reman selama empat hari sehingga 1 November ini bagi membantu siasatan.
Polis turut menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti dan mengesan sumber bekalan dadah yang diperoleh suspek.
Muhamad Rizal menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah serta akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan berkenaan, khususnya di daerah Mukah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan pengedaran atau penyalahgunaan dadah diminta menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras jenayah dadah.-DAKWAT RAKYAT POST
