PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan urusan perkhidmatan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), CP Dato’ Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain, masih dalam proses untuk dimuktamadkan.
Menurut kenyataan rasmi KDN pada 28 Oktober, kementerian mengambil perhatian dan menghargai pandangan masyarakat berhubung urusan perkhidmatan pegawai berkenaan.
KDN berkata, urusan itu akan dilaksanakan secara teratur mengikut peraturan dan tatacara yang berkuat kuasa.
Menurut kementerian itu, penubuhan AKPS yang kini memasuki tahun kedua bertujuan memperkukuh pengurusan kawalan dan perlindungan sempadan negara.
Sebagai agensi penting dalam memastikan keselamatan sempadan, kelancaran urusan, perlindungan hasil negara serta pematuhan terhadap integriti dan disiplin, keutamaan KDN adalah memastikan AKPS terus berupaya melaksanakan peranannya secara optimum.
“Keutamaan KDN adalah akan memastikan AKPS terus berupaya melaksanakan peranannya secara optimum demi menjamin keselamatan serta kedaulatan negara,” menurut kenyataan itu.
Kementerian turut menegaskan bahawa kesinambungan operasi dan kelancaran pelaksanaan tugas AKPS diberikan perhatian dalam menguruskan hal ehwal perkhidmatan pegawai.-DAKWAT RAKYAT POST
