KUNAK: Seramai 10 individu ditahan dalam Operasi Gasak Laut dan Operasi Bersepadu Daerah Kunak yang dilaksanakan oleh Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) pada 27 Oktober lalu, dengan nilai keseluruhan tindakan penguatkuasaan dan rampasan dilaporkan berjumlah RM269,439.26.
Komander ESSCOM, DCP Datuk Victor B Sanjos berkata, operasi itu membabitkan 202 pegawai dan anggota daripada 19 jabatan serta agensi keselamatan dan penguatkuasaan Persekutuan, Negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurutnya, operasi berkenaan memberi tumpuan kepada penguatkuasaan di kawasan laut dan darat, termasuk pemeriksaan premis perniagaan, pemilikan bom ikan serta pengesanan pelbagai kesalahan di bawah bidang kuasa agensi terlibat.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan yang dilaporkan merangkumi kompaun, nilai rampasan dan anggaran penalti bagi kes yang masih memerlukan siasatan lanjut.
Antara tindakan yang direkodkan ialah penahanan enam individu oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) atas kesalahan yang dilaporkan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Kesemua mereka dibawa ke Pejabat Imigresen Lahad Datu untuk tindakan lanjut.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula menahan empat individu atas kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas memeriksa 12 premis dan 60 individu.
Dalam pemeriksaan berasingan, Jabatan Tenaga Kerja Sabah memeriksa 10 premis perniagaan melibatkan 45 pekerja dan merekodkan lima kes kompaun bernilai RM170,000.
Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) turut memeriksa 21 premis dan mengeluarkan satu kompaun bernilai RM5,000, selain mengeluarkan satu notis pematuhan.
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pula merampas rokok dengan anggaran nilai termasuk duti sebanyak RM30,939.26 selepas memeriksa enam premis.
Barang rampasan dibawa ke Pejabat Kastam Lahad Datu untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Sementara itu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memeriksa 20 majikan dan mengeluarkan lima notis pemeriksaan, selain mengenal pasti lima kes yang disyaki melanggar peruntukan Akta KWSP 1991 untuk siasatan lanjut.
Majlis Daerah Kunak turut mengeluarkan satu kompaun bernilai RM500 atas kesalahan menjalankan operasi premis tanpa lesen sah.
Dalam tindakan berkaitan keselamatan utiliti dan penguatkuasaan maritim, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) merampas kabel elektrik seberat tujuh kilogram yang dianggarkan bernilai RM3,000 selepas memeriksa 22 rumah.
Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah pula merekodkan rampasan sembilan enjin pump boat, sebuah enjin sangkut dan sebuah bot dengan anggaran nilai keseluruhan RM10,000.
Victor berkata, operasi berkenaan bertujuan menjamin keselamatan dan ketenteraman awam di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone), termasuk membanteras penyeludupan, penyelewengan barang kawalan, barang bersubsidi dan tidak bercukai serta mengekang keberadaan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Menurutnya, operasi itu turut meningkatkan kehadiran pasukan keselamatan serta memperkukuh koordinasi dan perkongsian maklumat antara agensi bagi memastikan tindakan penguatkuasaan lebih berkesan.
“Kejayaan operasi ini mencerminkan komitmen berterusan ESSCOM dalam memperkukuh keselamatan dan penguatkuasaan di ESS Zone, selaras dengan hasrat ‘Tiada Hari Tanpa Operasi’,” katanya dalam kenyataan pada 28 Oktober.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua 202 pegawai dan anggota daripada 19 agensi yang terlibat serta menegaskan operasi seumpamanya akan terus dipergiat demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat Sabah Timur.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti mencurigakan atau insiden keselamatan di ESS Zone diminta menghubungi Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau melalui WhatsApp di 011-63311072.-DAKWAT RAKYAT POST
