KUDAT: Seorang pekerja kontraktor warga Filipina berusia 56 tahun maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menjalankan kerja pemasangan dan pembaikan lampu di sebuah sekolah di Batu 1, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 pagi itu, mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik selepas tangga yang digunakannya tersentuh kabel elektrik sebelum dia terjatuh di kawasan luar pintu gerbang sekolah.
Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu sebelum anggota polis dikerahkan ke lokasi untuk menjalankan siasatan.
Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati mangsa ditemukan terbaring di kawasan luar pintu gerbang sekolah ketika melakukan kerja berkenaan.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Kudat untuk tindakan lanjut.
Mohd Haris berkata, kes diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut (SDR), manakala siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti keadaan sebenar kejadian.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Penolong Penguasa Bomba Darikson Galanang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.31 pagi sebelum menggerakkan sembilan anggota ke lokasi.
Beliau berkata, pasukan bomba menghubungi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) untuk memutuskan bekalan elektrik bagi memastikan kerja mengeluarkan mangsa dapat dilakukan dengan selamat.
“Mangsa berjaya dikeluarkan ke kawasan selamat pada jam 9.15 pagi selepas bekalan elektrik diputuskan oleh pihak SESB.
“Operasi kemudian ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.46 pagi,” katanya.-DAKWAT RAKYAT POST
