PENAMPANG: Dua individu cedera dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah Toyota Yaris dan Isuzu D-Max di hadapan Alpha Land Development, Jalan Penampang-Kinarut, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.15 malam sebelum menggerakkan enam anggota ke lokasi kejadian.
Menurutnya, pasukan bomba tiba lima minit kemudian dan mendapati kemalangan membabitkan dua kenderaan berkenaan.
“Dua mangsa yang menaiki Toyota Yaris, masing-masing lelaki berusia lingkungan 40-an dan wanita berusia 29 tahun, mengalami kecederaan, manakala pemandu Isuzu D-Max, lelaki berusia lingkungan 40-an, tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa yang cedera telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
Anggota bomba kemudian memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum membawa mereka ke Hospital Queen Elizabeth I menggunakan kenderaan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) untuk rawatan lanjut.
Operasi yang turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu ditamatkan pada jam 11.02 malam selepas keadaan di lokasi dipastikan selamat dan tiada bahaya lain dikesan.-DAKWAT RAKYAT POST
