MIRI: Polis menahan sembilan lelaki warga Malaysia berusia antara 16 hingga 73 tahun yang disyaki terbabit dalam kegiatan pecah kubur di daerah Miri.
Tangkapan itu dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri menerusi operasi khas yang dijalankan dari 11 hingga 17 Oktober lalu.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan bin Ishak berkata, hasil operasi dan siasatan berkenaan membolehkan polis menyelesaikan sebanyak 15 laporan kes pecah kubur di daerah itu.
Semakan rekod mendapati tiga daripada sembilan suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau. Bagaimanapun, ujian saringan air kencing terhadap kesemua suspek menunjukkan keputusan negatif.
Antara barang yang dirampas bagi membantu siasatan termasuk tukul besi, pemutar skru, pelbagai barang kemas, rantai, gelang tangan, cincin, anting-anting serta plastik mengandungi duit syiling lama.
Polis turut merampas beberapa salinan resit pembelian dan salinan resit hotel yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 297 Kanun Keseksaan yang berkaitan pencerobohan tempat pengebumian dan perbuatan mencemarkan atau menghina tempat pengebumian.
Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun, denda atau kedua-duanya sekali.
PDRM Sarawak menegaskan tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang disyaki terbabit dalam kegiatan jenayah, selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian jenayah diminta menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu usaha pencegahan dan pengesanan kegiatan jenayah.-DAKWAT RAKYAT POST
