KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan komitmen kerajaan untuk mengambil tindakan tegas terhadap dalang dan sindiket penyeludupan warga asing, termasuk mana-mana pihak yang melindungi atau bersubahat dengan kegiatan berkenaan.
Beliau berkata, pihak yang membiarkan atau membolehkan kedaulatan negara dicabuli juga perlu dibawa ke muka pengadilan, sambil menegaskan keselamatan anggota penguat kuasa dan kedaulatan tanah air tidak boleh dipertaruhkan.
Anwar berkata demikian ketika menzahirkan rasa dukacita atas pemergian anggota Unit Perisikan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Allahyarham Laskar Kanan Maritim (Teknikal) Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan, yang terkorban ketika menjalankan tugas menghalang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, turut menyampaikan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham.
Beliau berharap keluarga Allahyarham diberikan kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan insan tersayang, selain menzahirkan ingatan kepada seluruh warga APMM yang kehilangan rakan seperjuangan ketika mempertahankan keselamatan perairan negara.
Anwar berkata, pemergian Allahyarham amat memberi kesan kepadanya, selain menyuarakan kekecewaan terhadap tindakan pihak yang menggugat keselamatan dan kedaulatan negara.
Menurutnya, pengorbanan anggota keselamatan itu tidak boleh dibiarkan berlalu tanpa tindakan sewajarnya, sebaliknya semua pasukan penguatkuasaan perlu bertindak tegas tanpa kompromi terhadap sebarang cubaan menceroboh sempadan negara.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan dan pasukan penguatkuasaan bertekad memburu pihak yang bertanggungjawab dalam kegiatan penyeludupan warga asing, termasuk mereka yang berperanan melindungi atau bersubahat dengan sindiket terbabit.
Dalam hantaran sama, Anwar mendoakan agar Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarham, melimpahkan rahmat ke atas rohnya serta menempatkannya dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.
Beliau turut mengakhiri ucapan takziah itu dengan bacaan Al-Fatihah buat Allahyarham. – DAKWAT RAKYAT POST
