MIRI: Sebanyak 35 saman dikeluarkan terhadap pelbagai kesalahan trafik dalam Op Motosikal yang dijalankan di sekitar Miri, semalam.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee bin Abdullah berkata, operasi oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri itu berlangsung dari jam 3 petang hingga 9.30 malam.
Beliau berkata, operasi tertumpu di kawasan Perumahan Taman Tunku, Perumahan Taman Jelita dan Kampung Lusut bagi membanteras aktiviti samseng jalanan yang boleh mengganggu kelancaran lalu lintas serta ketenteraman awam.
Sepanjang operasi, seramai 42 individu terdiri daripada 40 lelaki dan dua perempuan diperiksa bersama 38 buah motosikal.
Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan trafik dilakukan, dengan sebanyak 35 saman dikeluarkan terhadap kesalahan yang dikesan.
Antara kesalahan dikenal pasti ialah menunggang motosikal tanpa lesen memandu, mengubah suai struktur motosikal dan ekzos sehingga menghasilkan bunyi bising, tidak memasang cermin sisi, tiada nombor pendaftaran serta menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi atau ‘fancy’.
Pengubahsuaian motosikal merupakan antara kesalahan utama yang dikesan dalam operasi berkenaan.
Mohd Farhan menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam aktiviti samseng jalanan yang boleh membahayakan keselamatan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya, tidak mengubah suai kenderaan sehingga melanggar spesifikasi ditetapkan serta mengelakkan aktiviti yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
Sebarang maklumat berkaitan aktiviti samseng jalanan boleh disalurkan kepada IPD Miri atau balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.-DAKWAT RAKYAT POST
