SERIAN: Seorang penjawat awam berusia 29 tahun ditahan polis selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu dalam satu operasi di sebuah rumah kebun di Jalan Munggu Kopi, Kampung Rayang, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Serian, Superintendan Freddy Bian Stanislaus Bian berkata, tangkapan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian.
Pemeriksaan membawa kepada penemuan dadah disyaki syabu seberat 0.54 gram.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Suspek yang bertugas di daerah Serian itu turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama selepas ujian saringan awal air kencing didapati positif methamphetamine dan amphetamine.
Bagi kesalahan di bawah seksyen berkenaan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, selain pengawasan polis bagi tempoh yang ditetapkan mahkamah.
Polis meneruskan siasatan bagi melengkapkan tindakan lanjut terhadap suspek.-DAKWAT RAKYAT POST
