TAWAU: Persatuan Alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah membantah sebarang cadangan menutup UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau kerana dikhuatiri menjejaskan peluang pendidikan tinggi masyarakat Bumiputera, khususnya di Pantai Timur Sabah.
Yang Dipertuanya, Azhar Matussin berkata, persatuan menerima maklumat mengenai cadangan menutup kampus berkenaan dan memusatkan operasinya ke kampus utama UiTM di Kota Kinabalu.
Menurutnya, UiTM Tawau yang telah beroperasi selama tiga dekad sejak 1996 masih memainkan peranan penting dalam menyediakan akses pendidikan tinggi kepada penduduk Tawau, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan kawasan sekitarnya.
“Menutup Tawau bermakna memaksa anak-anak Pantai Timur Sabah merantau semula untuk menyambung pengajian. Ini satu langkah ke belakang,” katanya dalam kenyataan.
Azhar berkata, UiTM Tawau yang pada awalnya beroperasi di sebuah rumah kedai sebelum berpindah ke kampus tetap pada 2006 telah membuka peluang kepada ramai pelajar Bumiputera melanjutkan pengajian.
Katanya, program pra-diploma yang ditawarkan turut memberikan peluang kedua kepada pelajar yang tidak mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam lain untuk meneruskan pendidikan sehingga ke peringkat lebih tinggi.
Beliau turut membangkitkan kebimbangan terhadap kemampuan kampus utama UiTM Sabah di Kota Kinabalu menampung pertambahan pelajar sekiranya operasi Kampus Tawau dihentikan.
Menurutnya, kemudahan akademik dan asrama di kampus utama sudah berdepan kekangan kapasiti, sekali gus boleh menyukarkan pelajar dari Pantai Timur Sabah mendapatkan tempat pengajian.
Dalam pada itu, Azhar menegaskan persatuan tidak membantah cadangan penubuhan politeknik di Tawau, malah menyokong usaha memperluas kemudahan pendidikan tinggi di daerah berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, penubuhan institusi baharu tidak seharusnya menyebabkan UiTM Tawau ditutup kerana kedua-duanya mempunyai peranan dan matlamat pendidikan yang berbeza.
Beliau berkata, persatuan sudah mengemukakan surat rasmi kepada Menteri Kewangan Negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun pada 24 Ogos lalu bagi memohon supaya sebarang cadangan penutupan atau pengurangan operasi kampus itu dikaji semula secara menyeluruh.
Azhar turut menegaskan tanah yang diperuntukkan bagi UiTM Tawau perlu dikekalkan untuk tujuan pendidikan kerana ia merupakan pelaburan jangka panjang dalam pembangunan modal insan Bumiputera Sabah.
“Mempertahankan kampus ini bukan sekadar soal tanah. Ia soal peluang pendidikan Bumiputera dan masa depan pengajian tinggi di Pantai Timur Sabah,” katanya.
Menurutnya, UiTM Tawau juga berpotensi dibangunkan sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang agroperniagaan dan keusahawanan tani, sejajar dengan kekuatan sektor pertanian serta perladangan di Pantai Timur Sabah.
Sehubungan itu, beliau menyeru Kerajaan Negeri Sabah, Kementerian Pendidikan Tinggi dan pengurusan UiTM supaya mengekalkan serta memperkukuh peranan Kampus Tawau.
Persatuan Alumni UiTM Sabah turut menyatakan kesediaan bekerjasama dengan semua pihak berkaitan bagi memastikan institusi berkenaan terus menyediakan peluang pendidikan tinggi kepada masyarakat.
Bagaimanapun, kenyataan persatuan itu tidak menyatakan bahawa keputusan rasmi untuk menutup UiTM Kampus Tawau sudah dibuat.-DAKWAT RAKYAT POST
