TUARAN: Dakwaan cubaan menculik seorang kanak-kanak di kawasan Pasar Ikan Tuaran yang tular di media sosial disahkan tidak mempunyai unsur penculikan, menurut polis.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu membabitkan seorang lelaki yang dipercayai mengalami masalah kesihatan mental, memasuki sebuah kenderaan dinaiki kanak-kanak berkenaan sebelum cuba menyentuhnya.
Beliau berkata, tindakan pantas orang awam yang berada di lokasi membantu memastikan keselamatan kanak-kanak terbabit.
“Kanak-kanak berkenaan dilaporkan berada dalam keadaan selamat.
“Berdasarkan hasil siasatan setakat ini, tiada bukti menunjukkan kejadian itu mempunyai unsur penculikan seperti yang didakwa dalam maklumat tular,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurut Noraidin, lelaki terbabit telah diambil oleh ahli keluarganya dan kini berada dalam keadaan selamat di bawah penjagaan mereka.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa mengawasi anak-anak, khususnya ketika berada di tempat awam.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak meninggalkan kanak-kanak bersendirian di dalam kenderaan walaupun untuk tempoh yang singkat.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kesahihannya sehingga boleh menimbulkan kegusaran masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengesan sebarang kejadian atau perlakuan mencurigakan.
Terdahulu, dakwaan cubaan menculik seorang kanak-kanak di kawasan Pasar Ikan Tuaran tular di media sosial semalam, sekali gus mencetuskan perhatian orang ramai.-DAKWAT RAKYAT POST
