TELUK INTAN: Polis merampas 18 unit mesin yang disyaki digunakan untuk aktiviti perlombongan mata wang kripto Bitcoin dalam dua serbuan berasingan di sekitar daerah Hilir Perak, lewat malam Selasa hingga awal pagi Rabu.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Chua Kok Lian berkata, operasi pada 27 hingga 28 Oktober itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak dengan kerjasama juruteknik khas Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Menurutnya, serbuan berkenaan dilakukan hasil maklumat risikan berkaitan kegiatan mencuri bekalan elektrik yang dipercayai digunakan untuk menjalankan aktiviti perlombongan Bitcoin.
“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua premis disyaki mempunyai sambungan bekalan elektrik yang dibuat secara tidak sah,” katanya dalam kenyataan pada 28 Oktober.
Beliau berkata, kedua-dua premis didapati berkunci ketika serbuan dijalankan, menyebabkan pasukan operasi terpaksa membuka pintu pagar secara paksa bagi membolehkan pemeriksaan dilakukan.
Kesemua 18 mesin yang dirampas dibawa ke IPD Hilir Perak untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Chua berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990.
Polis kini sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pemilik premis serta individu yang bertanggungjawab terhadap kegiatan berkenaan.
Kerjasama TNB juga akan diperoleh bagi mengesahkan kaedah penyambungan elektrik yang digunakan serta menentukan jumlah kerugian yang terlibat.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang, termasuk mencuri bekalan elektrik, kerana perbuatan itu boleh menyebabkan kerugian kepada pihak berkaitan selain menimbulkan risiko keselamatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan berkenaan diminta menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu siasatan.-DAKWAT RAKYAT POST
