KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah sedang mempergiat pelaksanaan pelbagai perancangan strategik bagi mencapai sasaran Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak RM100 bilion menjelang 2030 menerusi agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata kerajaan negeri telah mengenal pasti industri berpotensi, pelaburan yang perlu ditarik serta keperluan infrastruktur bagi menyokong pertumbuhan ekonomi Sabah.
Menurutnya, keutamaan kini adalah memastikan semua perancangan berkenaan dilaksanakan dengan berkesan, termasuk menyediakan bekalan tenaga yang stabil, boleh dipercayai dan mampu milik bagi memenuhi keperluan sektor industri.
“Kita telah mengenal pasti industri yang mahu dibangunkan, pelaburan yang ingin ditarik serta infrastruktur yang diperlukan untuk menyokongnya. Kini, keutamaan adalah untuk memastikan semua perancangan ini dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan sempena perasmian Persidangan Perancangan Tahunan Sabah Energy Corporation (SEC) atau PACE bersama EDGE Summit di Magellan Sutera Resort, di sini, pada Khamis.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.
Hajiji berkata, pelabur yang ingin membangunkan kilang atau menjalankan operasi berskala besar di Sabah memerlukan kepastian mengenai kemampuan negeri menyediakan bekalan elektrik dan gas yang mencukupi, kos bekalan serta tempoh penyediaannya.
Katanya, kepastian itu penting kerana keputusan pelaburan tidak boleh bergantung semata-mata pada janji bekalan tenaga pada masa hadapan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata gas asli akan terus memainkan peranan penting dalam memenuhi permintaan tenaga Sabah, meskipun negeri ini turut memperluas pembangunan sumber tenaga boleh baharu.
Menurutnya, kerajaan negeri perlu mengimbangi peningkatan keperluan tenaga dengan kemampuan kos dan kelestarian alam sekitar bagi memastikan Sabah terus berdaya saing.
Hajiji berkata, menerusi Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang dimeterai bersama PETRONAS pada Disember 2021, kerajaan negeri berjaya memperoleh peranan lebih besar dalam pembangunan industri minyak dan gas Sabah.
Beliau turut memaklumkan bahawa Pelan Pembekalan dan Penghantaran Gas Jangka Panjang yang dibentangkan kepada kerajaan negeri pada September lalu mengunjurkan potensi peningkatan bekalan gas Sabah daripada kira-kira 700 juta kaki padu standard sehari kepada 1,350 juta kaki padu standard sehari menjelang 2030.
Katanya, cadangan pembangunan sumber gas di Pantai Timur Sabah turut membuka peluang baharu bagi penjanaan elektrik serta pertumbuhan industri di wilayah berkenaan.
“Perkembangan ini amat menggalakkan. Apa yang penting sekarang ialah memastikan projek-projek berkenaan dilaksanakan seperti dirancang dan manfaat yang dijangkakan dapat direalisasikan,” katanya.
Ketua Menteri turut memuji prestasi kewangan SEC serta usaha syarikat itu mengembangkan operasinya ke bidang baharu menerusi Agenda Transformasi Tenaga Progresif (PETA 2030).
Beliau berkata, sejak ditubuhkan pada 1981, SEC berkembang menjadi antara syarikat tenaga penting di Sabah dengan peranan yang semakin besar dalam pembekalan, pengangkutan dan pengagihan gas.
Dalam pada itu, Hajiji menggesa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta agensi kerajaan negeri supaya mencontohi usaha SEC dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sabah.
Menurutnya, kerjasama dan penyelarasan yang berkesan antara agensi amat penting, khususnya apabila tanggungjawab masing-masing saling berkait dalam menyokong pelaksanaan pelaburan berskala besar.
Beliau berkata, agensi kerajaan negeri tidak seharusnya beroperasi secara berasingan sehingga menyebabkan pelabur terpaksa menunggu terlalu lama dan peluang pelaburan beralih ke destinasi lain.
“Kita tidak mampu membiarkan perkara ini berlaku, terutama ketika Sabah bersaing dengan destinasi pelaburan lain.
“Oleh itu, saya berharap agensi Kerajaan Negeri dan GLC akan terus memperkukuh kerjasama, berkongsi maklumat serta menyelesaikan masalah secara bersama, dan bukannya membiarkan sempadan organisasi melambatkan pelaksanaan sesuatu perkara,” katanya.
Mengulas mengenai persidangan itu, Hajiji berharap idea dan pandangan yang dikongsikan dapat diterjemahkan kepada penambahbaikan praktikal, kerjasama strategik baharu serta kaedah kerja yang lebih berkesan demi menyokong pembangunan ekonomi Sabah.-DAKWAT RAKYAT POST
