LABUAN: Kegiatan seorang remaja lelaki yang disyaki mencuri wang tabung masjid membawa kepada penahanannya, sekali gus membantu polis menyelesaikan empat kes jenayah di sekitar pulau ini.
Suspek berusia 19 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan menerusi Op Pintu/Kesan, Rabu lalu.
Ketua Polis Labuan, Superintendan Wan Mohd Firdaus Wan Zaki berkata, penahanan itu dilakukan susulan laporan kehilangan wang daripada tabung Masjid Sirajul Islam, Kampung Tanjung Aru, pada 20 Oktober lalu.
Menurutnya, kejadian berkenaan mengakibatkan kerugian kira-kira RM150.
“Hasil operasi yang dijalankan, polis berjaya menahan suspek dan merampas satu unit pemotong besi yang dipercayai digunakan untuk memotong kunci mangga tabung masjid berkenaan.
“Penahanan suspek turut membantu polis menyelesaikan empat kes jenayah yang dilaporkan berlaku antara 26 September hingga 20 Oktober lalu,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau berkata, kes terbabit melibatkan kecurian tabung masjid, kecurian di kedai runcit serta kes pecah rumah di sekitar kawasan Lubok Temiang dan Rancha-Rancha.
Keseluruhan kerugian bagi empat kes berkenaan dianggarkan berjumlah RM3,950.
Dalam perkembangan sama, Wan Mohd Firdaus berkata, suspek turut didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine selepas menjalani ujian saringan air kencing.
Katanya, Mahkamah Majistret Labuan membenarkan suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga 2 November bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 380 dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya terus bekerjasama dengan pihak polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah bagi membantu menjaga keselamatan dan ketenteraman awam di Labuan.-DAKWAT RAKYAT POST
