KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor memuji inisiatif Sabah Kinabalu Pink Ribbon (SKPR) menubuhkan The Pink Haven, sebuah pusat sokongan yang menyediakan kemudahan dan tempat berteduh kepada pesakit kanser payudara serta penjaga mereka sepanjang menjalani rawatan khusus di Kota Kinabalu.
Beliau berkata, kewujudan pusat berkenaan amat bermakna, khususnya kepada pesakit dari kawasan luar bandar dan daerah lain di Sabah yang terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk mendapatkan rawatan.
Katanya, perjalanan berkenaan bukan sahaja memenatkan dari segi fizikal, malah turut memberi tekanan emosi dan beban kewangan kepada pesakit serta keluarga mereka.
“Pesakit dan penjaga mungkin terpaksa berjauhan daripada rumah serta keluarga ketika berdepan ketidaktentuan akibat diagnosis kanser.
“The Pink Haven merupakan sebuah ‘rumah kedua’ yang membantu meringankan beban pesakit yang terpaksa melakukan perjalanan untuk mendapatkan rawatan.
“Lebih daripada sekadar sebuah bangunan, pusat ini menawarkan keselesaan, menjaga maruah pesakit dan memberi keyakinan bahawa tiada siapa perlu melalui perjalanan ini secara bersendirian,” katanya.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Rina Jainal pada majlis perasmian The Pink Haven milik SKPR di sini, hari ini.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri mengiktiraf kepentingan inisiatif seperti itu, termasuk kerjasama dengan institusi kesihatan, pertubuhan masyarakat, penyumbang dan sukarelawan dalam membantu golongan yang terjejas akibat kanser.
Beliau turut melahirkan rasa gembira apabila peruntukan sebanyak RM300,000 yang diluluskan dua tahun lalu berjaya membantu merealisasikan pengoperasian pusat berkenaan dan dimanfaatkan sebaiknya.
Menurutnya, sejak ditubuhkan pada 2010, SKPR memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran mengenai kanser payudara, memberikan sokongan kepada pesakit dan bekas pesakit kanser serta membantu keluarga dan masyarakat memahami kepentingan sokongan terhadap golongan berkenaan.
“Dengan penubuhan The Pink Haven, SKPR telah melangkah setapak lagi dalam usahanya dengan menterjemahkan keprihatinan kepada bantuan yang praktikal,” katanya.
Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada Penaung dan Pengasas SKPR, Datin Lucilla Pang, yang pengalaman sebagai bekas pesakit kanser payudara menjadi inspirasi kepada penubuhan persatuan itu.
Beliau mengajak semua pihak termasuk kerajaan, penyedia perkhidmatan kesihatan, pertubuhan masyarakat, sektor perniagaan dan orang awam untuk terus berganding bahu memastikan pesakit kanser bukan sahaja menerima rawatan perubatan, malah turut mendapat sokongan praktikal dan emosi yang diperlukan.
Beliau berharap The Pink Haven akan terus menjadi tempat yang menyemai harapan, pemulihan dan sokongan berterusan kepada pesakit serta keluarga mereka.-DAKWAT RAKYAT POST
