LAHAD DATU: Seramai 25 anggota Pasukan Bomba Komuniti (BK) Ladang Sebrang dan Ladang Bagahak 2 berjaya menamatkan Kursus Pentauliahan Pasukan Bomba Komuniti anjuran Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, hari ini.
Peserta terdiri daripada 10 anggota BK Ladang Sebrang dan 15 anggota BK Ladang Bagahak 2 yang mengikuti latihan selama lapan jam di Dewan Sebrang Palm Oil Mill, bermula jam 8 pagi hingga 4.30 petang.
Ketua BBP Lahad Datu, Sumsoa Rashid, berkata kursus berkenaan bertujuan memberikan pendedahan dan kemahiran asas kebombaan kepada peserta supaya mereka mampu bertindak sebagai pasukan tindak balas awal (first responder) sekiranya berlaku kecemasan.
Menurutnya, latihan merangkumi sesi teori selama empat jam dan praktikal selama tiga jam dengan pelbagai modul berkaitan kebakaran serta penyelamatan.
“Peserta didedahkan dengan modul sains kebakaran termasuk teori segi tiga api dan cara kebakaran merebak.
“Mereka turut diberikan pengetahuan asas bantuan hayat (Basic Life Support – BLS), selain kemahiran asas pemadaman kebakaran dan penyelamatan berdasarkan risiko di persekitaran tempat kerja serta kediaman masing-masing,” katanya.
Beliau berkata, menerusi latihan praktikal, peserta berpeluang mempelajari sendiri teknik menggunakan alat pemadam api dengan kaedah yang betul bagi memastikan tindakan pemadaman dapat dilakukan dengan selamat dan berkesan.
Katanya, semua modul yang disampaikan penting bagi membentuk individu serta pasukan komuniti yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran untuk memberikan bantuan awal sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Usaha berterusan ini mencerminkan komitmen dan keprihatinan BBP Lahad Datu dalam memperluas perkhidmatan kebombaan serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan masyarakat menghadapi kecemasan.
“Kami berharap lebih banyak pasukan dan komuniti tampil menyertai program penubuhan Bomba Komuniti di daerah ini pada masa akan datang,” katanya.-DAKWAT RAKYAT POST
